Tuesday, February 3, 2015

M 027 NEGERI 1: JOHOR DARUL TAAZIM


.


JOHOR DARUL TAAZIM


Johor adalah negeri tempat aku dilahirkan.  Semasa aku di sekolah rendah, para penuntut telah diindoktrinasikan oleh guru-guru supaya berbangga dengan negeri kelahiran kita dan Raja yang memerintah. Selepas berpuluh tahun meninggalkan bangku sekolah, berpindah randah dari satu negeri ke satu negeri yang lain, malah bermastautin di negeri lain, namun perasaan kebanggaan dengan negeri kelahiranku JOHOR tetap melekat tebal dalam hatiku. 

Bagaimanapun banyak benda yang berkaitan dengan negeri Johor telah mula terkikis dalam otakku. Sama ada lupa atau tidak lagi updated. Walaupun kampung halamanku, tak banyak mengalami perubahan (pembangunan), tetapi pekan-pekan berhampiran sudah banyak perubahan. Sebagai contoh, pekan Parit Raja. Parit Raja pada tahun 70an hanya sebuah pekan kecil, dua baris rumah kedai (bangunan kayu) beratap zink. Pasarnya hanya pasar mingguan setiap hari Isnin dan Khamis pagi. Kini Parit Raja sudah membesar hampir menjadi bandar, bangunan sudah bertukar dari bangunan kayu kepada konkrit, ada pasaraya dan banyak taman perumahan. Yang paling signifikan ialah wujudnya sebuah universiti (IPTA) iaitu Universiti Tun Hussein Malaysia (UTHM).

Semasa aku dilahirkan, (22 Nov) Sultan Johor pada masa itu ialah almarhum Sultan Ismail. Baginda naik tahta pada 8 Mei 1959, iaitu lebih kurang 6 bulan sebelum aku dilahirkan.  Baginda mangkat pada 10 Mei 1981 (pada masa itu aku sedang mengikuti latihan asas penerbangan di TUDM Kluang). Almarhum digantikan oleh Sultan Mahmud Iskandar. Baginda mangkat pada 20 Januari 2010, selepas 28 tahun memerintah.

Sultan Johor sekarang, Sultan Ibrahim (Tunku Ibrahim Ismail)  mengambil alih tahta negeri Johor pada 21 Jan 2010. Baginda diputerakan pada 22 November 1958, sama tarikh dengan hari kelahiranku. Baginda lebih tua setahun.

Semasa aku di sekolah dahulu, negeri Johor mempunyai 8 buah daerah, iaitu; Johor Bahru, Muar, Batu Pahat, Pontian, Segamat, Kluang, Mersing and Kota Tinggi). Tetapi pada tahun 2008 Kerajaan Negeri Johor telah mewujudkan dua daerah baru iaitu Ledang and Kulai Jaya (pada tahun 2015 ditukar menjadi Kulai).

Fakta Ringkas Negeri  Johor:

= Ibu Negeri: Johor Bahru (dahulu dikenali sebagai Tanjung Puteri)
= Pusat Pentadbiran: Iskandar Puteri
= Bandar DiRaja: Bandar Maharani Muar (mulai 12 Feb 2012)
= Ketua Negeri:  Sultan
= Ketua Kerajaan:  Menteri Besar
= Lagu Negeri:  Allah Peliharakan Sultan
= Keluasan:  18,985 km persegi (negeri kelima terbesar dalam Malaysia)
= Penduduk:  3,592,000 (anggaran 2016)- (Melayu: 51%, China: 35.4%, India: 6.9% dan   
    lain-lain:6.6%)
= Kepadatan:  140/km2

 LATAR BELAKANG

Nama Rasmi bagi negeri Johor (English: Johore) ialah Negeri "Johor Darul Taazim". Pusat Pentadbiran atau ibu negeri Johor ialah Johor Bahru (dahulu dikenali sebagai Tanjung Puteri). Ketua Negeri bergelar Sultan manakalan Ketua Kerajaan dan juga penasihat Sultan adalah Menteri Besar. Lagu rasmi negeri Johor ialah "Allah Peliharakan Sultan".

Keluasan tanah negeri Johor ialah 18,985 km persegi (negeri kelima terbesar dalam Malaysia) manakala jumlah penduduknya ialah 2.96 juta (anggaran 2003) iaitu kedua dalam Malaysia (pecahan:Melayu: 51%, China: 35.4%, India: 6.9% dan lain-lain:6.6%). Kepadatan penduduk ialah140/km2. Persempadanan Johor ialah Selat Melaka di sebelah Barat, Laut China Selatan di sebelah Timur, Selat Teberau dan Republik Singapura di sebelah Selatan. Manakala di sebelah utara bersempadan dengan 3 buah negeri, iaitu Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang.

SEJARAH RINGKAS

Sejarah Johor bermula pada tahun 800 Masehi, sebagai salah satu penempatan perdagangan yang penting di Semenanjung emas (Tanah Melayu). Di awal tahun 1300 Johor menjadi negeri di bawah lindungan Empayar Majapahit (Indonesia). Di antara 1400 hingga 1511, Johor menjadi sebahagian dari jajahan Kerajaan Kesultanan Melaka.

Pada 1511, apabila Melaka ditawan oleh Portugis, Sultan Mahmud Shah telah melarikan diri ke Muar, Pahang dan kemudian ke Bentan. Diantara tahun 1511 hingga 1526 Sultan Mahmud Shah mengumpulkan semula semua askarnya dan menyerang Melaka beberapa kali dan membuat sekatan perdagangan. Manakala angkatan perang Portugis yang diketuai oleh Pedro Mascarenhaas juga dihantar untuk menyerang Bentan. Sultan Mahmud terpaksa melarikan diri merentasi Selat Melaka ke Kampar, Sumatra dan mangkat di sana pada tahun 1528. Baginda digantikan oleh puteranya Raja Ali yang bergelar Sultan Alauddin Riayat Shah II sebagai Raja Tanah Ujung dan Bentan yang kemudiannya dikenali sebagai JOHOR. Pusat pentadbirannya di Pekan Tua. Kesultanan Johor ini juga dikenali sebagai "Kesultanan Johor-Riau-Lingga". Seorang lagi putera Sultan Mahmud yang bernama Raja Muzaffar kemuadiannya dirajakan di Perak dan bergelar Sultan Muzaffar Shah, Sultan Perak yang pertama.

Pada tahun 1533 Johormenyerang Melaka tapi gagal dan pada tahun 1535 Portugis pula menyerang Pekan Tua. Sultan Johor membuka pusat pentadbiran baru di Sayong Pinang. Pada 1540, Johor meluaskan jajahannya ke Aru, Bengkalis, Kampar, Jambi, Siak dan Rokan di Sumatra. Pada 1551, Johor bergabung dengan Perak, Pahang dan Jawa menyerang Melaka tetapi masih gagal. Johor seterusnya menawan Acheh pada tahun 1554. Peperangan antara Johor dan Portugis di Melaka berterusan sehingga tahun 1564.

Mulai 1608, Johor berkerjasama dengan Belanda yang berpengkalan di Bengkahulu (Bencoolen) bagi menyerang Melaka secara berterusan sehingga berjaya menewaskan Portugis pada tahun 1641. Pada tahun 1613, Acheh yang dipimpin oleh Raja Iskandar Muda Mahkota Alam pula menyerang Johor. Ibu kota Kerajaan Johor dipindahkan pula ke Batu Sawar. Pada 1623, Batu Sawar pula dimusnahkan oleh Acheh, lalu ibu kota Johor dipindahlan pula ke Riau.

Pada tahun 1699, Sultan Mahmud Shah II mangkat (dibunuh oleh Laksamana Bentan semasa dijulang untuk ke masjid- digelar Sultan Mahmud Mangkat Dijulang). Oleh kerana baginda masih bujang dan tiada pewaris, maka Bendahara Tun Abdul Jalil telah dirajakan dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Riayat Shah. Pusat pentadbiran berpindah ke Johor Lama. Pada tahun 1802 berlaku perpecahan di kalangan pembesar-pembesar Johor, Sultan di Lingga (dikuasai pengaruh Bugis), Temenggung di Singapura/Tanah Besar dan Bendahara di Pahang. Pada 6 Feb 1819 satu perjanjian (treaty)di antara Stamford Raffles dengan Tengku Abd Rahman.Empayar Kesultanan Johor dibahagikan kepada dua bahagian.Kerajaan Riau di sebelah selatan diperintah oleh Sultan Abdul Rahman manakala Kerajaan Johor di sebelah utara diperintah oleh Sultan Hussein (abang Sultan Abdul Rahman).

Pada tahun 1670, Jambi dengan bantuan Belanda pula menyerang Johor, Sultan melarikan diri ke Pahang. Pada 1673, tentera Johor yang diketuai Laksamana Tun Abdul Jamil telah mengalahkan tentera Jambi. 1718 - Raja Siak (Raja Kechil) menyerang dan menawan Johor) bergelar Sultan Abdul Jalil Riayat Shah. 1722 Raja Sulaiman (putera Sultan Abdul Jalil Riayat Shah) dengan bantuan Bugis berjaya menewaskan Raja Kechil) dan menawan semula Kerajaan Johor.

 Image result for kd laksamana tun abdul jamil
Kapal Korvet TLDM KD LAKSAMANA TUN ABDUL JAMIL adalah mengambil sempena nama pahlawan Johor


Almarhum Sultan Abdul Rahman 
(Sultan yang memerintah Kerajaan Riau-Lingga dari tahun 1885 hingga 1911)

Pada Jun 1823 Sultan Hussein ditabal menjadi Sultan Johor. Pada 2 Ogos 1824 satu lagi Perjanjian antara Inggeris/Sultan/Temenggung dipersetujui. Singapura diserah kepada East India Company (EIC). Pada bulan Mac 1825 Temenggung Ibrahim menggantikan Temenggung Abd Rahman sebagai Temenggung Kerajaan Johor. Pada tahun 1855, satu perjanjian antara Inggeris, Sultan Hussein dan Temenggung telah dipersetujui di mana, Temenggung Ibrahim diberi kuasa memerintah Johor kecuali wilayah Kesang dibawah Sultan Ali (anak Sultan Hussein). Sultan Hussein diberi pencen seumur hidup. Temenggung Tun Ibrahim membuka pusat pentadbiran baru di Tanjung Putri (kemudian ditukar nama menjadi Johor Bahru). Muar juga kemudiannya diserahkan kepada Temenggung Ibrahim pada tahun 1877.

Temenggung Tun Daeng Ibrahim

Pada tahun 1862, Temenggung Abu Bakar menggantikan ayahnya (Temenggung Ibrahim) bergelar Datuk Temenggung Abu Bakar Seri Maharaja Johor. Pada tahun 1885 Perjanjian Persahabatan Inggeris-Johor ditandatangani dengan Inggeris iktiraf Kerajaan Johor sebagai negeri merdeka (Negeri Melayu Tak Bersekutu). Maharaja Abu Bakar bergelar Sultan dan menerima Penasihat Inggeris. Namun Sultan Johor hanya secara rasmi mengiktiraf Penasihat Inggeris pada tahun 1914.

Maharaja Tun Abu Bakar (Sultan Abu Bakar)

Pada tahun 1895 Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor diisytiharkan. Kekuatan dan kestabilan Johor atas sebab ketokohan Sultan Johor serta kebijaksanaan para pembesarnya seperti Dato’ Bentara (Setiausaha Kerajaan), Dato’ Seri Amar Diraja, Datuk Bentara Luar, Datuk Bentara Dalam dan Datuk Penggawa Barat yang tidak menerima nasihat Inggeris bulat-bulat. Oleh sebab itu, Kesultanan Johor lebih stabil dan Johor lebih maju berbanding dengan Negeri-negeri Melayu yang lain pada masa itu.


Sultan Ibrahim Al Masyhur

Pada tahun 1896, Sultan Ibrahim menjadi Sultan Johor dan pada 1914 Sultan Ibrahim terpaksa menerima seorang Residen Inggeris, Douglas Graham Campbell. Johor merupakan Negeri di Semenanjung Tanah Melayu yangterakhir menerima Residen Inggeris. Perang Dunia Kedua meletus pada tahun 1939. Tentera British yang bertanggungjawab dalam aspek pertahanan Johor telah dikalahkan dengan mudah oleh tentera Jepun. Diantara Feb 1941 hingga 20 Ogos 1943 Jepun menduduki Johor. Setelah Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, Johor seperti juga negeri-negeri lain ditadbir oleh British Military Administration.

Pada 1946 Pesuruhjaya Tinggi British, Henry Gurney telah melancarkan gagasan Malayan Union namun ditentang hebat oleh Nasionalisma Melayu yang diketuai oleh Dato' Onn Jaafar dari UMNO menyebabkan Malayan Union dibatalkan dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu pada 1948.

Pada 31 Ogos 1957 Johor menyertai 11 buah negeri-negeri dalam Semenanjung Tanah Melayu mencapai kemerdekaan sebagai sebuah negara Persekutuan Tanah Melayu. Seterusnya pada 16 Sep 1963 Johor adalah salah satu daripada 14 buah negeri yang menyertai pembentukan Malaysia.

RINGKASAN SEJARAH KESULTANAN JOHOR

Nota: Sejarah Kesultanan Johor terbahagi kepada tiga iaitu keturunan Sultan Mahmud Shah (Melaka), keturunan Bendahara Tun Abdul Jalil dan keturunan Temenggung Daeng Ibrahim.

KESULTANAN JOHOR DARI KETURUNAN SULTAN MELAKA

Apabila Melaka jatuh ditangan Portugis pada tahun 1511, Sultan Melaka pada masa itu, Sultan Mahmud Shah telah melarikan diri ke Muar, Johor dan dirajakan oleh penduduk Muar sebagai Sultan Johor (memerintah di jajahan Muar sahaja). Selanjutnya keturunan baginda memerintah Johor:

(1)   Sultan Mahmud Shah ibni almarhum Sultan Alauddin Riayat Shah (1511 - 1528)
(2)   Sultan Alauddin Riayat Shah ibni almarhum Sultan Mahmud Shah (1528 - 1564)
(3)   Sultan Muzaffar Shah II ibni almarhum Sultan Alauddin Riayat Shah (1564 - 1570)
(4)   Sultan Abdul Jalil Shah I ibni Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah (1570 - 1571)
(5)   Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah ibni almarhum Raja Ahmad(1571 -1597)
(6)   Sultan Alauddin Riayat Shah III Zillullahi fil Alam ibni almarhum Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah (1597 - 1615).
(7)   Sultan Abdullah Muayat Hammat Shah ibni almarhum Sultan Muzaffar Shah II (1615 - 1623)
(8)   Sultan Abdul Jalil Shah III ibni almarhum Sultan Alauddin Riayat Shah III (1623 - 1677)
(9)   Sultan Ibrahim Shah ibni almarhum Yam Tuan Muda Raja Bajau (22 Nov 1677 - 16 Feb 1685)
(10) Sultan Mahmud Shah II ibni almarhum Sultan Ibrahim Shah (Marhum Mangkat Di Julang) (16 Feb 1685 - 3 Sep 1699).


Makam Sultan Mahmud 2 (Marhum Mangkat DiJulang) di Kota Tinggi


KESULTANAN JOHOR DARI KETURUNAN BENDAHARA ABDUL JALIL PADUKA RAJA

Menurut cerita (hikayat), Sultan Mahmud mangkat dibunuh oleh Laksamana Bentan kerana Sultan telah membunuh isterinya yang bernama Dang Anum atas sebab yang kecil. Pembunuhan itu berlaku semasa Laksamana Bentan sedang melaksanakan tugas negara, menghapuskan lanun. Dang Anum yang sedang hamil pada masa itu telah mengidam buah nangka. Semasa tukang kebun Sultan lalu di depan rumahnya membawa sebiji nangka, Dang Anum meminta seulas. Apabila Sultan mengetahuinya, baginda telah memerintahkan pertanda membelah perut Dang Anum untuk melihat bayi yang dikandung itu.

Sekembalinya dari bertugas, Laksamana amat sedih dan berduka atas kematian isterinya yang tersayang dan menyimpan dendam kepada Sultan. Semasa baginda diusung (julang) untuk ke masjid bersolat Jumaat, Laksamana telah menikam Sultan. Sebelum mangkat, baginda sempat membaling keris ke arah Laksamana dan terkena kaki beliau. Racun keris itu turut menyebabkan Laksamana menemui kematian.

Konon ceritanya, sebelum mangkat, baginda sempat menyumpah tujuh keturunan Laksamana Bentan akan muntah darah jika memasuki daerah Johor Lama (Kota Tinggi).

Sultan Mahmud masih bujang, tiada waris yang menggantikannya. Lalu Bendahara Tun Sulong bin Tun Abdul Majid) mengiisytiharkan dirinya sebagai Sultan Johor. Keturunan Bendahara menggantikan keturunan Sultan Mahmud:

(1)   Sultan Abdul Jalil Riayat Shah (3 Sep 1699 - 1721)
*  Pada tahun 1718, Raja Kechil mengaku diri keturunan Sultan Mahmud dari Siak, Sumatera. Baginda menyerang Johor dan merampas takhta Johor dan menggelar diri sebagai Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah. Bagaimana pun dikalahkan semula oleh anak Sultan Johor pada tahun 1722)
(2)   Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah ibni almarhum Sultan Abdul Jalil Riayat Shah (1721 - 20 Ogos 1760)
(3)   Sultan Abdul Jalil Muadzam Shah ibni almarhum Sultan Sulaiman Shah (20 Ogos 1760 - 29 Jan 1761)
(4)   Sultan Ahmad ibni almarhum Sultan Abdul Jalil Muadzam Shah (1761)
(5)   Sultan Mahmud Shah Alam ibni almarhum Sultan Abdul Jalil Muadzam Shah (1761 - 12 Dis 1811)
(6)   Sultan Abdul Rahman Muadzam Shah ibni almarhum Sultan Mahmud Shah (12 Dis 1811 - 6 Feb 1819)
(7)   Sultan Hussain Muadzam Shah ibni almarhum Sultan Mahmud Shah (diberi pencen seumur hidup oleh Kerajaan Inggeris- menyerahkan Negeri Johor kepada pentadbiran Temenggong Ibrahim) (6 Feb 1819 - 5 Sep 1835).
(8)   Sultan Ali Iskandar Shah ibni almarhum Sultan Husain Muadzam Shah (tidak diiktiraf sebagai Sultan- baginda memerintah di wilayah Muar-Kesang sahaja sehingga 20 Jun 1877)


KESULTANAN JOHOR DARI KETURUNAN TEMENGGUNG DAENG ABDUL RAHMAN

Datuk Temenggong Seri Maharaja Tun Daeng Ibrahim bin Tun Temenggung Abdul Rahman diberi kuasa oleh Kerajaan Inggeris untuk mentadbir Negeri Johor dan kekal atas jawatan sebagai Temenggong Johor (5 Sep 1835 - 31 Jan 1862).

(1)   Tun Abu Bakar Seri Maharaja bin Temenggung Tun Ibrahim (1 Feb 1862 - 1868), menggelar diri sebagai Tuanku Maharaja Abu Bakar (1868 - 1886) dan kemudiannya menukar gelaran kepada Sultan Sir Abu Bakar Al Khalil Ibrahim Shah ibni almarhum Temenggung Tun Ibrahim (13 Feb 1886 - 4 Jun 1895). Secara rasminya Sultan Abu Bakar adalah Sultan Johor yang pertama dalam sejarah Kesultanan Johor Moden.

(2)   Sultan Sir Ibrahim ibni almarhum Sultan Abu Bakar Al Khalil Ibrahim Shah (4 Jun 1895 - 8 Mei 1959) - Sultan Ibrahim I

(3)   Sultan Sir Ismail ibni almarhum Sultan Ibrahim Al Masyhur (8 Mei 1959 -10 Mei 1981)

(4)   Sultan Mahmud Iskandar ibni almarhum Sultan Ismail alKhalidi (10 Mei 1981 - 26 Apr 1984)
* Tunku Ibrahim Ismail ibni Sultan Iskandar Alhaj dilantik menjadi Pemangku Sultan Johor apabila Sultan Iskandar dilantik menjadi SPB Yang DiPertuan Agong ke 8 dari 26 Apr 1984 - 25 Apr 1989). Al Mutawakil Alallah Sultan Iskandar Alhaj ibni almarhum Sultan Ismail kembali memerintah Johor pada 26 Apr 1989 sehingga mangkat pada 21 Jan 2010)

(5)   Sultan Ibrahim ibni almarhum Sultan Iskandar Alhaj (21 Jan 2010 - kini) - Sultan Ibrahim II (tidak rasmi, sebagai memudahkan rujukan sahaja)



Tunku Ibrahim Ismail semasa menandatangani surat sumpah memangku Sultan Johor pada 21 Jan 2010, beberapa jam sebelum kemangkatan ayahandanya 

Sultan Ibrahim Ismail menandatangani surat perisytiharan sebagai Sultan Johor 
pada 21 Jan 2010


SULTAN-SULTAN JOHOR 
KETURUNAN TEMENGGUNG DAING IBRAHIM

 



Almarhum Sultan Abu Bakar


 Almarhum Sultan Ibrahim Al Masyhur


 Almarhum Sultan Ismail al Khalidi


 Almarhum Sultan Iskandar

Sultan Ibrahim


SENARAI PENASIHAT KERAJAAN JOHOR DI ZAMAN PENJAJAH

RESIDEN BRITISH

Douglas Graham Campbell- 1885 - 1914 (tidak diiktiraf oleh Sultan Johor)
F G Weld (pemangku - 1914 - 1916)
Douglas G Campbell (1916 - 1917)
F J Hallifax (pemangku - 1917 - 1918)
J F Owens (1918 -1921)
Hayes Marriot (1921 - 1926)
Charles Walter Hamilton Cochrane (1926 - 1928)
George Ernest Shaw (1928 - 1931)
Richard O. Winstedt (1931 - 1935)
Walter Evelyn Pepys (1935 - 1940)
W.D. Barron (1940 - 1941)

GABENOR JENERAL JEPUN

Semasa Perang Dunia II, Malaya diperintah oleh Tentera (1942 - 1945). Gabenor Jeneral Jepun di Johor ialah:

Kenji Dohihara (1943 - 1943)
Sheishiro Itagaki (1945 - 1945)

Selepas tamat pemerintahan Jepun, Tentera British (British Military Administration)  mengambil-alih pentadbiran Tanah Melayu di antara tahun 1945 hingga 1946 dan diketuai oleh seorang Governor General. Selepas Perang Dunia II, pentadbiran Tanah Jajahan British dipulihkan dan Tanah Melayu ditadbir oleh British High Commissioner (1946 - 1957) yang berpusat di Kuala Lumpur.

PESURUHJAYA TINGGI BRITISH

Sir Gerard Edward James Gent (1 April 1946 - 1 Feb 1948)
Sir Henry Lowell Goldworthy Gurney (1 Okt 1948 - 6 Okt 1951)
Sir Gerald Walter Robert Templer (Jan 1952 - 1954)
Sir Donald Charles McGullivary (31 Mei 1954 - 30 Ogos 1957)

SENARAI MENTERI BESAR JOHOR

Menteri Besar adalah pengganti jawatan Bendahara dalam sistem pemerintahan yang lama. Jawatan MB Johor diwujudkan semasa pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar. Jawatan MB yang dilantik oleh Sultan berakhir pada tahun 1959 setelah Perlembagaan Negara dipinda bagi membolehkan MB dilantik dari kalangan Wakil Rakyat (ADUN) dari parti politik yang memenangi pilihanraya umum. Berikut adalah senarai MB Johor:

Menteri Besar yang dilantik oleh Sultan (1886 - 1959):

(1)   YB Dato' Haji Jaafar bin Mohamad (1886 - Jul 1919)
(2)   YB Dato' Haji Mohamad bin Mahbob (1920 - 1922)
(3)   YB Dato' Abdullah bin Dato' Jaafar (Sep 1922 - 1923)
(4)   YB Dato' Mustapha bin Dato' Jaafar (16 Sep 1928 - 23 Nov 1931)
(5)   YB Dato' Abdul Hamid bin Yusuf (23 Nov 1931 - 28 Dis 1934)
(6)   YB Dato' Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Majid (Apr 1935 - 1 Jun 1947)
(7)   YB Dato' Sir Onn bin Dato' Jaafar (1 Jun 1947 - 18 Mei 1950)
(8)   YB Dato' Syed Abdul Kadir bin Syed Mohamed (20 Feb 1952 - 5 Jun 1955)
(9)   YB Dato' Wan Idris bin Ibrahim (1 Okt 1955 - 16 Jun 1959)

 Selepas Pilihanraya Persekutuan Tanah Melayu 1959 yang turut melibatkan semua Dewan Undangan Negeri di Malaysia, jawatan Menteri Besar dipilih oleh rakyat. Salah seorang ADUN yang dicadangkan oleh Parti Memerintah dan mendapat resti DYMM Sultan telah dilantik menjadi Menteri Besar.

Menteri Besar yang dipilih oleh rakyat (mulai Pilihan Raya Umum 1959):

(10)   YAB Tan Sri Dato' Hj Hassan bin Mohd Yunus PSM SPMJ PIS (27 Jun 1959 - 31 Jan 1967)
(11)   YAB Tan Sri Hj Osman bin Mohammad Saat PSM DCSM (01 Feb 1967 - 28 Apr 1982)
(12)   YAB Dato' Hj Abdul Ajib bin Ahmad DPMJ (29 Apr 1982 - 12 Ogos 1986)
(13)   YAB Tan Sri Hj Mukhyiddin bin Hj Mohd Yassin PSM SPSA SUNS SPMJ PNBS SPDK SMJ PIS AMN (13 Ogos 1986 - 2 Mei 1995)
(14)   YAB Dato' Abdul Ghani bin Othman DK1 DK2 SPMJ SMJ PIS (3 Mei 1995 - 8 Mei 2013)
(15)   YAB Dato' Seri Mohamed Khaled bin Nordin SMIJ DMSM PSI 1 (8 Mei 2013 - 9 Mei 2018)
(16)   YAB Dato' Hj Osman bin Sapian DSNS AMN (12 Mei 2018 - 14 Apr 2019).
(17)   YAB Dr Sahruddin bin Jamal (14 Apr 2019 - kini)


MENTERI BESAR JOHOR

 YAB Datuk Ir Hj Hasni bin Mohamad
(28 Februari 2020 - kini)


 YAB Dr Sahruddin bin Jamal
(14 April 2019 - 28 Februari 2020)


 Datuk Hj Osman bin Sapian
(12 Mei 2018 - 14 April 2019)


 Datuk Mohamed Khaled bin Nordin
(15 Mei 2013 - 9 Mei 2018) 

 Image result for tan sri ghani othman
Tan Sri Dato Hj Abdul Ghani bin Othman 
(4 Mei 1995 - 3 April 2013)

 
Tan Sri Muhyiddin bin Mohd Yassin
(12 Ogos 1986 - 3 Mei 1995)

 Dato' Hj Abdul Ajib bin Ahmad (Allahyarham)
(29 April 1982 -  12 Ogos 1986)

 
Tan Sri Dato' Hj Osman bin Mohd Saat (Allahyarham)
(4 Februari 1967 - 4 April 1982)

 Related image 
Tan Sri Dato' Hj Hassan bin Mohd Yunus (Allahyarham)
 (1959 - 1967)
(MENTERI BESAR pertama DIPILIH OLEH RAKYAT)

[MB+Johor+9.jpg]
Dato' Hj Wan Idris bin Ibrahim (Allahyarham)
(1955 - 1959)

 [MB+Johor+8.jpg]
Dato' Syed Abdul Kadir bin Syed Muhammad (Allahyarham)
(1952 - 1955)

[MB+Johor+7.jpg] 
Dato' Sir Onn bin Dato' Jaafar (Allahyarham)
(1947 - 1952)

[MB+Johor+6.jpg]
Dato' Ungku Abdul Aziz bin Abd Majid (Allahyarham)
 (1935 - 1947)

[MB+Johor+5.jpg]
Dato Abdul Hamid bin Yusof (Allahyarham)
(1931 - 1934)

[MB+Johor+4.jpg]
Dato' Mustapha bin Dato' Jaafar (Allahyarham)
(1928 - 1931)

[MB+Johor+3.jpg]
Dato Abdullah bin Dato' Jaafar (Allahyarham)
(1922 - 1923)

 
Dato' Mohammad bin Mahbob (Allahyarham)
 (1920 - 1922)

[MB+Johor+1.jpg]
Dato Jaafar bin Mohammad (Allahyarham)
 MENTERI BESAR JOHOR PERTAMA
(1886-1919)



LAGU BANGSA JOHOR (1897)

Allah peliharakan Sultan
'Nugrahkan dia segala kehormatan
Sihat dan ria, kekal dan makmur
Luaskan kuasa, menaungkan kami
Rakyat dipimpini berzaman lagi
Dengan Merdeka bersatu hati
Allah berkati Johor
Allah selamatkan Sultan

Lirik asal (English) oleh Hubert Allen Courtney. 1897
Lirik Melayu oleh Tuan Hj Mohammad Said bin Hj Sulaiman, 1914
Muzik oleh Mackertich Galistan Abdullah, 1897

Pentadbiran Negeri Johor

Sultan Negeri Johor merupakan Ketua Perlembagaan Negeri. Dibawah perlembagaan negeri, kuasa perundangan dipunyai oleh Dewan Undangan Negeri yang terdiri daripada 56 ahli. Dewan ini melantikkan salah sepuluh orang daripada ahli Dewan untuk membentuk Majlis Mesyuarat Kerajaan (executive Councillor) atau EXCO, yang diketuai oleh seorang Menteri Besar, memegang kuasa eksekutif dan merupakan badan yang membuat dasar kerajaan negeri.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SUKN) merupakan ketua pentadbiran kerajaan negeri. Pejabat SUKN merupakan teras kepada Pentadbiran Kerajaan Negeri yang menyempurnakan sokongan pentadbiran kepada implementasi dasar-dasar yang diputuskan oleh EXCO dan Dewan Undangan Negeri.

Johor merupakan sebuah negeri yang mempunyai Perkhidmatan Awamnya yang tersendiri (Johore Civil Service) seperti negeri-negeri Kelantan, Kedah, Perlis dan Terengganu . Selain dari SUKN Jawatan-jawatan utama dalam perkhidmatan awam Negeri ialah Pegawai Tanah dan Galian Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri. Penasihat Undang-undang Negeri merupakan pegawai awam yang dilantik oleh Kerajaan Pusat.

SENARAI SETIA USAHA KERAJAAN NEGERI JOHOR

YB Dato' Abdul Rahman bin Andak (Dato’ Seri Amar DiRaja) SPMJ (1893)
YB Dato' Mohamed bin Mahbob SPMJ (1907 - Nov 1914)
YB Dato Hj Ismail bin Bachok DPMJ (1 Jan 1928 - Dis 1929)
YB Dato' Hj Mohd Salleh bin Ali DPMJ (20 Dis 1929 - 31 Jan 1948)
YB Dato' Ibrahim bin Abd Rahman DPMJ (1 Feb 1948 - 31 Dis 1952)
YB Dato' Mohd Seth bin Mohd Said DPMJ (1 Jan 1953 - 1 Mei 1956)
YB Dato' Abd Rahman bin Musa DPMJ PIS (1 Ogos 56 - 22 Jun 62)
YB Dato' Abd Rahman bin Jaafar DPMJ PIS (23 Jun 62 - 31 Dis 66)
YB Dato' Abdullh bin Mohamed DPMJ PIS (1 Jan 67 - 5 Mac 70)
YB Dato' Ibrahim bin Abd Majid SPMJ PIS PLP (6 Mac 70 - 12 Feb 73)
YB Dato' Mohd Eusof bin Abd Rahman DPMJ PIS PLP (13 Dis 73 - 5 Ogos 74)
YB Dato' Abd Rahman bin Ahmad SPMJ PLP PIS AMN (6 Ogos 74 - 3 Jan 76)
YB Dato' Mohd Yusof bin Abd Rahim SPMJ SSIJ DPMJ PLP PIS BSI (5 Jan 76 - 31 Dis 79)
YB Dato' Hj Suleiman bin Hj Mohd Noor SPMJ DPMJ DSIJ PIS BSI AMN (1 Jan 80 - 16 Feb 85)
YB Dato' Abd Rahim bin Ramli SPMJ SSIJ DPMJ PIS BSI (17 Feb 85 - 31 Mac 93)
YB Dato' Hj Ishak bin Mohd Yusof SPMJ DPMJ PIS BSI (1 Apr 93 - 13 Sep 96)
YB Dato' Dr Hj Shahir bin Nasir SPMJ PJN DPMJ PIS KMN (14 Sep 96 - 19 Feb 2001)
YB Dato' Hj Ayub bin Mion DPMJ, PIS, BSI, PLP (5 Jun 2001 - 2 Sep 2003)
YB Dato' Hj Mohd Razali bin Hj Mahussin DPMJ PIS BSI ( 3 Sep 03 - 9 Feb 06)
YB Datin Paduka Hajah Norsiah bt Haron DPMJ PIS (10 Feb 06 - 19 Feb 06)
YB Dato' Hj Abd Latif bin Yusof DPMJ PIS (20 Feb 06 - 13 Mac 2011)
YB Dato' Hj Obet bin Tawil DPMJ PIS (14 Mac 2011 - 9 Apr 2014)
YB Dato' Ismail bin Karim DPMJ PIS (14 Apr 2014 - 31 Dis 2016)
YB Dato' Hj Azmi bin Rohani DMIJ PSI 1 (01 Jan 2017 - kini)


DAERAH PENTADBIRAN

Johor dibahagikan kepada 10 buah daerah pentadbiran dan terdapat 3 buah daerah kecil, iaitu:

Daerah Johor Bahru. Keluasan 1817.8 km per dengan jumlah penduduknya 1,449,900. Pejabat daerah di Johor Bahru. Pegawai Daerahnya Tuan Hj Yahya bin Salleh. Bandar dan pekan utama dalam daerah ini ialah: Bandar dan pekan utama dalam daerah ini ialah Johor Bahru, Stulang, Gelang Patah, Sekudai, Ulu Tiram, Plentong, Ulu Choh, Kangkar Pulai, Masai, Nusajaya, Bandar Baru UDA, Permas Jaya, Stulang, Tanjung Langsat, Lok Heng dan Lima Kedai.

Daerah Muar. Keluasan 2346.12km/p dan jumlah penduduknya 408,400. Pejabat daerah di Muar (Bandar Maharani). Pegawai Daerahnya Tuan Hj Mislan bin Karmani. Bandar dan pekan utama dalam daerah ini ialah: Parit Bunga, Bakri, Parit Jawa, Parit Bakar, Bukit Pasir, Bandar Dato Onn, Panchor, Bukit Kepong, Pekan Baru, Parit Raja, Parit Unas, Pagoh, Bukit Mor, Sungai Abong dan Bukit Treh.

Daerah Batu Pahat. Keluasan 1878 km/p dan jumlah penduduk 419,400. Pejabat daerah di Batu Pahat (Bandar Penggaram). Pegawai Daerah: Tuan Hj Norizan bin Kulob. Bandar dan pekan utama dalam daerah ini ialah: Bandar Penggaram, Rengit, Senggarang, Parit Raja, Yong Peng, Parit Yaani, Tongkang Pecah, Seri Gading, Semerah, Peserai, Parit Sulong, Seri Medan, Ayer Hitam dan Kangkar Baru.

Daerah Kluang. Keluasan 2871.8km/p dan jumlah penduduknya 324,800. Pejabat daerah di Kluang. Bandar dan pekan utama dalam daerah ini ialah:Kluang, Simpang Rengam, Renggam, Machap, Layang-layang, Sg Sayong, Mengkibul, Kahang, Paloh dan Kampong Tengah.

Daerah Segamat. Keluasan 2851.26 km/p dan jumlah penduduknya 217,400. Pejabat daerah di Segamat. Bandar dan pekan utama dalam daerah ini ialah: Segamat, Labis, Jementah, Buloh Kasap, Chaah, Bekok, Batu Anam, Jagoh, Pekan Air Panas, Gemas Baharu, Sungai Karas, Pekan Jabi dan Genuang.

Daerah Mersing. Keluasannya 2836.6 dan jumlah penduduknya 87,000. Pejabat daerah di Mersing. Bandar dan pekan utama dalam daerah ini ialah:Mersing, Endau, Jemaluang dan Air Papan.

Daerah Pontian. Keluasannya 919.5 km/p dan jumlah penduduknya 128,000 dan pejabat daerah di Pontian Kechil. Bandar dan pekan utama dalam daerah ini ialah: Pontian Kecil, Kukup, Benut, Pontian Besar, Kayu Ara Pasung, Ayer Baloi, Pekan Nanas, Permas Kechil, Tanjung Kupang dan Tanjung Pelepas.

Daerah Kota Tinggi. Keluasannya 3488.7 km/p dan jumlah penduduknya 249,600 dan pejabat daerah di Kota Tinggi. Bandar dan pekan utama dalam daerah ini ialah: Kota Tinggi, Pengerang, Sg Rengit, Kuala Sedili, Mawai, Bandar Penawar, Tg Pengelih, Bandar Easter, Mawai, Bandar Tenggara, Tg Surat, Punggai dan Telok Mahkota.

Daerah Ledang. Keluasannya 970,624 dan jumlah penduduknya seramai 58,501. Pejabat daerah di Tangkak (daerah baru mulai 2008- pecahan dari daerah Muar). Bandar dan pekan utama dalam daerah ini ialah: Tangkak, Tanjung Agas, Kesang, Sungai Mati, Serom, Sagil, Bukit Gambir, Grisek, Kundang Ulu, Bukit Kangkar dan Lenga.

Daerah Kulai. Keluasannya 753.45km/p dan jumlah penduduknya seramai 192,000. Pejabat daerah di bandar Kulai (daerah baru mulai 2008 - pecahan dari daerah Johor Bahru). Bandar dan pekan utama dalam daerah ini ialah: Kulai, Ayer Bemban, Bukit Batu, Kangkar Pulai, Kelapa Sawit, Saleng, Sedenak, Seelong, Senai, Sengkang dan Sungai Sayong.


Daerah Kecil

Dalam beberapa daerah utama terdapat kawasan yang dinaiktaraf menjadi Daerah Kecil yang ditadbirkan oleh Penolong Pegawai Daerah (ADO) khusus untui kawasan tersebut.  Di Johor terdapat 3 buah daerah kecil berikut:

Daerah Kecil Rengit di dalam daerah Batu Pahat.
Daerah Kecil Labis di dalam daerah Segamat.
Daerah Kecil Pengerang di dalam daerah Kota Tinggi.

PIHAK BERKUASA TEMPATAN

Pentadbiran pihak berkuasa tempatan dilaksanakan mengikut Akta Kerajaan Tempatan. Taraf pihak berkuasa tempatan juga diwujudkan mengikut peruntukan dalam Akta berkenaan. Sehingga kini, Negeri Johor mempunyai 15 Pihak Berkuasa Tempatan yang terdiri dari sebuah Majlis Bandaraya, 5 buah Majlis Perbandaran, 8 buah Majlis Daerah dan dua buah Pihak Berkuasa Tempatan khas.

Majlis Bandaraya

Majlis Bandaraya Johor Bahru

Majlis Bandaraya Johor Bahru bermula pada 1910 apabila Lembaga Bandaran ditubuhkan, seterusnya dinaikkan ke taraf Majlis Bandaran pada tahun 1952, Majlis Perbandaran pada 1 April 1977, diikuti dengan Majlis Bandaraya 1 Januari 1994 setelah Johor Bahru dianugerah taraf bandaraya pada tarikh tersebut. Kawasan MBJB berkeluasan 220 km persegi dengan jumlah penduduknya seramai 497,067.

Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) 

Pada 22 Nov 2017, Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) telah dinaiktaraf sebagai Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP). Ini menjadikan MBIP sebagai bandaraya yang kedua di Negeri JDT. Sejarah MBIP bermula sebagai salah satu Majlis Tempatan di dalam daerah Johor Bahru yang ditubuhkan pada tahun 1953. Bermula daripada sebuah pusat pentadbiran kecil, Majlis Tempatan ini kini telah diisytiharkan sebagai sebuah Pihak Berkuasa Tempatan bertaraf perbandaran. Keluasan Johor Bahru Tengah sebelum perbandaran ialah 303.5 kilometer persegi, manakala keluasan kawasan selepas perbandaran ialah 338.5 kilometer persegi.

MPJBT terbahagi kepada dua Zon iaitu Zon Timur yang meliputi kawasan Ulu Tiram, Masai, dan Plentong. Manakala Zon Barat meliputi kawasan Skudai, Lima Kedai, Gelang Patah, Kangkar Pulai, dan Ulu Choh. Bagaimanapun Ulu Choh telah dimasukkan ke Majlis Perbandaran Kulai sejak 2015).

Jumlah penduduk MBIP ialah 525,351 orang. Kini, satu pembahagian telah dicadangkan untuk mengeluarkan 97.7 kilometer persegi untuk penubuhan Pihak Tempatan Nusajaya.

Majlis Perbandaran 

Majlis Perbandaran Muar (MPM)

Sejarah Pihak Berkuasa Tempatan ini bermula pada tahun 1903 dikenali sebagai Lembaga Sanitasi sehingga tahun 1910. Pada tahun 1921 ia dinaiktaraf kepada Lembaga Bandaran (dibawah Enakmen Lembaga Bandaran 1911).

Pada 6 Mac 1952 ia dinaikkan taraf kepada Majlis Bandaran Bandar Maharani (dibawah Ordinan Kerajaan Tempatan, Peruntukan Sementara 1973).

Selaras dengan rombakan sistem pentadbiran PBT di Semenanjung Malaysia pada 01 Ogos 1976 (dibawah Akta Kerajaan Tempatan, peruntukan-peruntukan sementara 1973), Majlis Bandaran Muar dibahagi kepada dua iaitu Majlis Daerah Muar Utara (MDMU) yang beribu pejabat di Tangkak  dan Majlis Derah Muar Selatan (MDMS) yang beribu pejabat di Muar (Bandar Maharani).

Pada 01 Jan 2001 MDMS telah dinaiktaraf menjadi Majlis Perbandaran Muar (MPM).

Pengisytiharan Majlis Perbandaran Muar disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Johor pada  14 Apr 2001.

Majlis Perbandaran Muar  merangkumi 17 buah mukim yang sehingga kini di duduki hampir 230, 000 orang penduduk pelbagai etnik.

Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP)

Sejarah PBT Batu Bahat bermula dengan status sebagai Lembaga Pembandaran antara tahun 1912 hingga 1952. Pada tahun 1952 statusnya dinaiktaraf menjadi Majlis Bandaran Bandar Penggaram (MBP).

Pada tahun 1976 MBP dirombak dan dibahagi dua iaitu Majlis Daerah Batu Pahat Barat (MDBPB) yang beribu pejabat di Bandar Penggaram (BP) dan Majlis Daerah BP Timur (MDBPT) beribu pejabat di Yong Peng.

Setelah memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Kerajaan Tempatan Malaysia dan dengan persetujuan Setiausaha Pesuruhjaya Pilihanraya, maka Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor telah bersetuju menaikkan taraf Majlis Daerah Batu Pahat Barat (MDBPB) kepada Majlis Perbandaran Batu Pahat pada 1 Januari 2001.

Majlis Perbandaran Kluang (MPK)

Kedudukan Kluang terletak di tengah-tengah Negeri Johor Darul Ta'zim, dikelilingi oleh semua daerah, kecuali daerah Muar. Keluasan daerah Kluang ialah 2,8518.8 kilometer persegi. Keluasan kawasan pentadbiran Majlis seluas 126.57 kilometer persegi. Kluang mudah dihubungi dengan bandar-bandar lain dengan melalui rangkaian jalan raya dan keretapi.

Tahun 1915 merupakan tahun bersejarah bagi Kluang. Pada tahun tersebut pusat pentadbiran telah ditubuhkan bagi kawasan tengah Johor. Pada tahun yang sama juga perhubungan landasan keretapi menghubungi Kluang dengan bandar-bandar utama lain telah dibina. Pertumbuhan pesat bandar Kluang bermula pada tahun 1920-an dan 1930-an dengan daerah pengeluar getah paling utama.

Majlis Perbandaran Kluang diberi kuasa menerusi Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) dan beberapa akta lain berkaitan serta Undang-undang Kecil untuk melaksanakan fungsi dan tanggungjawabnya. Sejarah penubuhannya sebagai penguasa tempatan bermula pada tahun 1920 apabila Lembaga Bandaran Kluang dibuka. Lembaga Bandaran Kluang telah dinaik taraf kepada Majlis Bandaran Kluang pada tahun 1957, Majlis Daerah Kluang Utara pada 1977 dan seterusnya diisytiharkan sebagai Majlis Perbandaran Kluang pada 8 Mei 2001.

Majlis Perbandaran Kulai (MPKu)

Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) adalah PBT yang bertanggungjwab menjaga daerah Kulai. Majlis ini dinaik taraf dari Majlis Daerah Kulai (MDK) pada tahun 2004.

Pada tahun 2008, daerah kecil Kulai (sebahagian daripada Daerah Johor Bahru), kawasan yang terletak di Johor Bahru utara telah berasing daripada Daerah Johor Bahru dan menjadi daerah kesembilan atau kesepuluh (daerah kecil Tangkak juga bernaik taraf kepada Daerah Ledang.) dalam Negeri Johor Darul Takzim.

Daerah ini pada mulanya dinamakan Kulaijaya dan telah beroperasi sejak 1 Januari 2008. Bagaimanapun pada tahun 2015 Sultan Johor telah menitahkan supaya nama Kulaijaya dikembalikan menjadi Kulai.

Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG)

Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) telah ditubuhkan pada 1 Julai 2008 di bawah Seksyen 3, Akta Kerajaaan Tempatan, 1976 (Akta 171). Kawasan tadbiran MPPG berkeluasan 311 kilometer persegi (31,132 hektar) yang meliputi Mukim Tiram dan sebahagian Mukim Plentong.

Sejarah penubuhan MPPG ini bermula pada 1 Julai 1977 apabila Majlis Bandaran Pasir Gudang ditubuhkan melalui Pengisytiharan Warta Kerajaan Negeri Johor Jil.21 Bil 4, J.P.U. 10 bertarikh 17 Februari 1977 di bawah seksyen 3, Enakmen Lembaga Bandaran (Bil 118).

Berkuatkuasa pada tarikh yang sama, Johor Corporation (dahulunya dikenali sebagai Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor-PKENJ) telah dilantik sebagai Pihak Berkuasa Tempatan bagi mentadbir dan memajukan kawasan Majlis Bandaran Pasir Gudang ini dibawah Seksyen 150, Enakmen Lembaga Bandaran.

Mulai 1 Julai 1985, Kerajaan Negeri Johor telah bersetuju PBT Pasir Gudang ditadbir di bawah Seksyen 7, Akta Kerajaan Tempatan, 1976 (Akta 171) menggantikan penggunaan Enakmen Lembaga Bandaran 1937 (Bil 118).

Johor Corporation telah diamanahkan oleh Kerajaan Negeri untuk mentadbir PBT Pasir Gudang mengikut tempoh-tempoh pentadbiran yang telah diluluskan sehingga 31 tahun lamanya iaitu dari 1 Julai 1977 hingga 30 Jun 2009.

Apabila PBT Pasir Gudang telah memenuhi semua kriteria sebagai sebuah Majlis Perbandaran, dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) telah ditubuhkan pada 1 Julai 2008 di bawah Seksyen 3, Akta Kerajaan Tempatan, 1976 (Akta 171).

Dua orang pegawai Johor Corporation telah dipinjamkan sebagai Yang DiPertua dan Setiausaha MPPG bagi mentadbir MPPG dalam tempoh peralihan. Mulai 1 September 2009 tampuk pengurusan MPPG berhijrah ke era baru apabila Kerajaan Negeri mengambil alih sepenuhnya pentadbiran MPPG daripada Johor Corporation.

Selaras dengan penubuhan MPPG, maka perlantikan ahli-ahli majlis telah dibuat pada 1 Julai 2008 yang meliputi 24 zon.  Peranan ahli majlis adalah sebagai penghubung di antara masyarakat setempat dengan pengurusan MPPG.

Majlis Daerah

Majlis Daerah Segamat (MDS)

Majlis Daerah Labis (MDL)

Majlis Daerah Tangkak (MDT)

Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR)

Majlis Daerah Yong Peng (MDYP)

Majlis Daerah Pontian (MDP)

Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT)

Majlis Daerah Mersing (MDM)

Pihak Berkuasa Tempatan Bandar Penawar


PRASARANA

Pelabuhan Antarabangsa.

Negeri Johor mempunyai tiga pelabuhan bertaraf antara bangsa:

Pelabuhan Tanjung Pelepas - terletaknya di Tanjung Pelepas, Pontian, ia adalah pusat muatan pindah kapal yang terbesar di Malaysia.

Pelabuhan Johor (Pasir Gudang): - terletaknya di Pasir Gudang, ia merupakan salah satu pelabuhan komoditi yang utama di Malaysia.

Pelabuhan Tanjung Langsat- terletaknya lapan kilometer dari Pelabuhan Johor, ia merupakan pelabuhan yang terbaru di Johor untuk mengendalikan gas cecair (LPG) dan bahan-bahan kimia yang merbahaya.

Lapangan Terbang

Lapangan Antarabangsa Sultan Ismail - 130 kmdaripada Bandaraya Johor Bahru, memberi perkhidmatan kepada sistem penerbangan nasionaldan wilayah. Dibina pada 6 Jun 1974, lapangan terbang ini telah diperbesarkan berkali-kali dan kini mempunyai kapasiti sebanyak lima juta penumpang setahun.

Landasan Terbang Tentera

Kluang (Pasukan Udara TD)
Tanjung Labuh
Mersing (Kem Iskandar)
Ulu Tiram (PULADA)

Destinasi Pelancungan/Rekreasi

Negeri Johor mempunyai banyak tarikan pelancongan, terutamanya:

Johor Bahru. Danga Bay, Pantai Lido.Tambak Johor (Causeway) dibina tahun 1924).

Kota Tinggi. Air Terjun Kota Tinggi (setinggi 34 meter), Pantai Desaru, Pantai Telok Mahkota, Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang (dan peninggalan sejarah Johor Lama).

Pontian. Kukup- sebuah kampung perikanan dengan restoran makanan laut yang dibina diatas laut; dan Tanjung Piai- merupakan hujung yang paling selatan di benua Asia.

Batu Pahat.Pantai Minyak Beku (peninggalan sejarah ‘Perigi Patu Pahat’); dan Taman Tema Air Tasik Merdeka.

Mersing. Kepulauan di Laut China Selatan - terdiri daripada pulau-pulau yang mempunyai terumbu karang dan pantai yang indah; seperti Pulau Pemanggil, Pulau Aur, Pulau Tinggi, Pulau Sibu dan lain-lain. Sebuah istana yang unik milik Sultan Johor yang dinamakan Istana Flintstone, bakal menjadi tarikan utama pelancong masih dalam pembinaan berhampiran dengan Kem Iskandar.

Taman Negara dan Hutan Rekreasi

Negeri Johor juga mempunyai lima Taman Negara dengan jumlah keluasan yang melebihi 700 km persegi serta banyak lipur yang lebih kecil untuk menarik kedatangan pelancong:

Taman Negara Endau Rompin
Taman Negara Gunung Ledang
Taman Negara Tanjung Piai
Taman Negara Pulau Kukup
Taman Negara Kepulauan Mersing
Hutan Lipur Gunung Pulai
Hutan Lipur Gunung Arong
Hutan Lipur Gunung Lambak
Hutan Lipur Gunung Belumut
Hutan Lipur Gunung Panti

Pulau-pulau untuk pelancungan:

Pulau Tinggi
Pulau Pemanggil
Pulau Rawa
Pulau Sibu
Pulau Tengah
Pulau Aur
Pulau Besar
Pulau Lima

Hutan simpan bakau yang luas:

Hutan Simpan Paya Bakau Sedili Besar
Hutan Simpan Paya Bakau Sedili Kechil
Hutan Simpan Paya Bakau Sungai Lebam

Kem Tentera

Kem PULADA Ulu Tiram (menempatkan Pusat Latihan Tentera Darat)
Kem Teberau, Johor Bahru (menempatkan Rej 501 AW, Depot Ordnans, Worksyop JLJD dan Rej KPT)
Kem Majidee, Johor Bahru (telah ditutup pada tahun 2012)
Kem Iskandar, Mersing (meenmpatkan Markas Grup Gerak Khas dan 21 dan 22 RGK)
Kem Mahkota, Kluang (menempatkan Markas 7 Briged Infantri, Rej 2 Artileri, 
Kem Nyassa, Ulu Tiram 
Kem Quetta, Kluang
Kem Batu 3, Jalan Mersing, Kluang (menempatkan Batalion 5 RAMD)
Kem Sri Banang, Batu Pahat (kemudian ditukar nama menjadi Kem Majidee)
Kem Jonid, Muar (Askar Wataniah)
KD Sultan Ismail, Tanjung Pengelih (menempatkan Pusat latihan Rikrut TLDM)
KD Sri Madini (PSSTLDM)
TUDM Bukit Lunchu (menempatkan Skn 323 Pertahanan Udara)

Institusi Pengajian Tinggi

Universiti Teknologi Malaysia, Skudai (IPTA)
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Parit Raja (IPTA)
Universiti Teknologi MARA (Kampus Segamat) (IPTA)
Universiti Teknologi MARA (Kampus Johor Bahru) (IPTA)
Universiti Kuala Lumpur - Malaysian Institute of Industrial Technology (UNIKL-MITECH), Masai (IPTS)
Newcastle University of Medicine Malaysia (NUMed), Taman Pelangi
Kolej Universiti Sains Kesihatan Masterskills, Pasir Gudang
Politeknik JohorBahru
Politeknik Mersing
Institut Pendidikan Guru Tun Hussein Onn, Batu Pahat
Institut Pendidikan Guru Temenggong Ibrahim, Johor Bahru

Sekolah Berasrama Penuh (SBP)

Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru
SM Sains Muar
SM Sains Johor
SM Sains Kota Tinggi
SM Sains Sultan Iskandar, Mersing
SM Sains Sembrong
SM Sains Batu Pahat
SBP Ledang

Maktab Rendah Sains Mara (MRSM)

MRSM Muar
MRSM Mersing
MRSM Batu Pahat
MRSM Tun Dr Ismail, Pontian

Wilayah dan Projek Pembangunan

Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA)
Lembaga Pembangunan Johor Barat
Singapore Johor Riau Growth Triangle (SIJORI-GT)
Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI)

Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Johor


DK-I
Darjah Kerabat I (D.K.I.) (dizahirkan pada 31 Julai 1886) - membawa gelaran Dato'

DK-II
Darjah Kerabat II (D.K.II) (dizahirkan pada 31 Julai 1886)- membawa gelaran Dato'

SPMJ
Seri Paduka Mahkota Johor (S.P.M.J.) (dizahirkan pada 31 Julai 1886) - membawa gelaran Dato'

DPMJ
Dato' Paduka Mahkota Johor (D.P.M.J.) (dizahirkan pada 31 Julai 1886) - membawa gelaran Dato'

SMJ.jpg
Setia Mahkota Johor (S.M.J.) (dizahirkan pada 31 Julai 1886)

SSIJ
Seri Setia Ismail Johor (S.S.I.J.) (dizahirkan pada 28 Oktober 1974) - tiada lagi penganugerahan sejak 1981.

DSIJ
Dato' Setia Ismail Johor (D.S.I.J.) (dizahirkan pada 28 Oktober 1974) tiada lagi penganugerahan sejak 1981.


Dato' Seri Mulia Sultan Ibrahim Johor (S.M.I.J.) (dizahirkan pada 21 Mac 2017) 


Dato' Setia Mulia Sultan Ibrahim Johor (D.M.I.J.) (dizahirkan pada 21 Mac 2017


Setia Mulia Sultan Ibrahim Johor (S.I.J.) (dizahirkan pada 21 Mac 2017


Setia Ismail Johor (S.I.J.) (dizahirkan pada 28 Oktober 1974) tiada lagi penganugerahan sejak 1981.

PBK
Pingat Besi Kerana Keberanian dan Jasa Pangkat Pertama (P.B.I.) ( (dizahirkan pada 17 September 1958)
Pingat Besi Kerana Keberanian dan Jasa Pangkat Kedua (P.B.II) ( (dizahirkan pada 17 September 1958)

PJP
Pingat Kerana Jasa Dan Lama Dalam Pekerjaan (P.J.P.) ( (dizahirkan pada 17 September 1923)

PLP
Pingat Kerana Lama Dan Baik Dalam Pekerjaan (P.L.P.) ( (dizahirkan pada 17 September 1922)

Pingat Sultan Ibrahim (Emas) (PSI) ( (dizahirkan pada 21 Mac 2017)
Pingat Sultan Ibrahim (Perak) (PSI II) ( (dizahirkan pada 21 Mac 1977)
Pingat Sultan Ibrahim (Gangsa) (PSI III) ( (dizahirkan pada 21 Mac 1977)


PSAB
Pingat Sultan Abu Bakar (1883) - tidak lagi dianugerahkan

PIS I
Pingat Ibrahim Sultan Johor (Emas) (P.I.S.I) ( (dizahirkan pada 17 September 1928)
- tidak lagi dianugerahkan

Pingat Ibrahim Sultan (P.I.S II)
Pingat Ibrahim Sultan Johor (Perak) (P.I.S.II) ( (dizahirkan pada 17 September 1928)
- tidak lagi dianugerahkan

Pingat Ibrahim Sultan (P.I.S III)
Pingat Ibrahim Sultan Johor (Gangsa) (P.I.S.III) ( (dizahirkan pada 17 September 1928)
- tidak lagi dianugerahkan

BinSI E P
Bintang Sultan Ismail (Emas) (B.S.I.I) ( (dizahirkan pada 28 October 1977)
Bintang Sultan Ismail (Perak) (B.S.I.II) ( (dizahirkan pada 28 October 1977)
-(tidak lagi dianugerahkan sejak 1981)

Jaksa Pendamai (J.P.) ( (dizahirkan pada.....)

EVOLUSI BENDERA NEGERI JOHOR


Image result for white flag
SEBELUM 1855

[Johore 1855-1865] 
 1855 - 1865

Johor flag 1865-1871
1865 - 1871

[Johore (Malaysia)]
1871 hingga sekarang





No comments:

Post a Comment