Thursday, February 26, 2015

M 109 ULAMAK TERSOHOR TANAH MELAYU 1

MENGENALI ULAMA TERSOHOR TANAH MELAYU
.
 TOK KENALI: Ulamak Yang Punya Pelbagai 
 Keistimewaan dan Kiramah 


Mohd Yusof bin Ahmad (Tok Kenali)
(1868-1933)
Haji Awang Muhammad Yusof Kenali atau lebih dikenali sebagai Tok Kenali merupakan seorang ulamak yang amat masyhur bukan sahaja bagi negeri Kelantan bahkan seluruh Semenanjung Tanah Melayu, Singapura dan wilayah-wilayah selatan Thailand.  Sehingga hari ini, setelah 80 tahun almarhum meningglkan dunia ini, sebut sahaja nama Tok Kenali, ramai yang masih mendengar nama ini.
Walaupun beliau bukanlah seorang penulis yang konsisten seperti Syed Syeikh al-Hady, namun beliau merupakan seorang penulis yang gagah lagi jelas pemikirannya. Tok Kenali sejak dari usia yang muda lagi meminati pembacaan dan menaruh pandangan yang begitu tinggi terhadap tugas-tugas penulisan serta peranan majalah-majalah dan akhbar-akhbar sebagai mass media yang berpengaruh untuk menyatupadukan umat Melayu Islam . Atas kesedaran itulah beliau tampil mempelopori usaha memimpin majalah ‘Pengasuh’ yang diterbitkan oleh Majlis Agama Islam Kelantan walaupun beliau terbeban dengan tugas-tugas besar yang lain. Ini dapat diperhatikan dalam tulisannya dalam keluaran pertama majalah ‘Pengasoh’ :
"Telah mengakulah saya bahawa saya ini tiada daripada medan kuda ini. Sekiranya jika ada orang yang mengenangkan pekerjaan saya ini berhentilah saya, kerana bukan tujuannya saya hendak menunjukkan kebijakan dan mencari kepujian, kerana adalah orang yang mengarang itu jadi kikit bagi sekelian penembak. Jika idak ia pejam matanya, nescaya mati ia kerana dukacita, tetapi tatkala adalah yang dituntut daripada sesorang itu manfaatnya atau mudharatnya, beranilah saya menceburkan diri dalam lautan api yang sentiasa bernyala-nyala. Selama ada angin yang baik itu tiadalah puas hati saya mati sebelum saya lihat perubahan yang baru lagi elok ……..
Tatkala saya ketahui bahawasanya tiada ada orang yang boleh jadi utusan yang usaha pada menghimpunkan antara anak-anak Melayu kita ini, maka cintalah saya denga harapan bahawa diadakan pada tiap-tiap sebuah negeri di dalam Semenajung Tanah Melayu kita ini sekurang-kurangnya satu suratkhabar yang dipunya oleh anak-anak negeri sendiri supaya menepati ia utusan yang bijaksana menyeru kepada bersekutu dan bersatu pada tiap-tiap pekerjaan yang mendatangkan muslihat bagi watan, bangsa dan agama.
Cuba engkau tilik cerah matahari kelebihan orang yang telah dapat kemenangan kerana amalan yang kebajikan dan pandangan kelam orang yang telah jatuh kerana malan yang kejahatan , maka disitulah ‘Pengasoh’ bertimpus membedakkan sekelian yang hadir dengan bedak pengharapan , mudah-mudahan subur sekelian dengan darah dan daging yang boleh menghadamkan tanahair dan menunjukkan kepada raja.”

Tok Kenali merupakan satu-satunya ulama’ kesayangan semua lapisan masyarakat yang tidak ada tolok bandingnya. Kisah hidup beliau merupakan lagenda-lagenda yang diperkatakan orang di segenap pelusuk negeri hingga ke hari ini. Beliau begitu popular bukan sahaja kerana ilmu pengetahuan agamanya yang tinggi dan pemikirannya yang tajam dan bijaksana, malah kerana sifat-sifat kejujuran, rendah diri, peramah, pemurah, cara hidupnya yang zuhud , bersahaja dan kiramahnya. 
Tok Kenali adalah diantara tokoh-tokoh ulamak yang telah diabadikan oleh rakyat Kelantan dengan gelaran ‘Tok’ yang digandingkan dengan nama tempat atau kampung di mana ulamak-ulamak itu datang, lahir, belajar atau menabur bakti mereka. Gelaran itu merupakan kemuncak penghormatan yang melambangkan ketokohan dan kemasyhuran yang meluas. Namun, Tok Kenali tidak hanaya menjadi lambang kemegahan rakyat Kelantan sahaja malah kemasyhuran beliau menjangkau jauh di luar perbatasan Malaysia. Beliau dapatlah dibariskan sejajar dengan tokoh-tokoh Nusantara lain yang berjasa di zamannya dan memberi kesan yang mendalam kepada masyarakatnya.
Sejarah hidup Tok Kenali adalah sederhana, namun demikian beliau telah meninggalkan sumbangan yang mat menarik. Beliau dilahirkan di Kampung Kenali pada tahun 1868 dari satu keluarga kaum tani yang soleh. Nama kelahiran beliau adalah Muhammad Yusof bin Ahmad dan nama timangannya ‘Awang’, satu nama sentimental yang amat disenangi beliau. Malah, majalah ‘Pengasoh’ dalam keluaran pertamanya memperkenalkan pengarangnya sebagai ‘al-Fadhil Tuan Haji Awang Kenali’ dan Almarhum Sultan Muhammmad IV menyebut nama beliau dalam titah ucapan perlantikan beliau sebagai anggota Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) dengan nama ‘ Haji Awang Muhammad Yusof Kenali’.

Beliau dilahir dan dibesar dalam zaman pemerintahan seorang raja Kelantan yang terkenal iaitu Almarhum al-Sultan Muhammad II yang terkenal dengan gelaran ‘Sultan Mulut Merah’. Beliau dilahirkan setahun selepas Masjid Besar Kota Bharu (Masjid kayu) dibina. Sesuku abad kemudian, masjid ini menjadi tempat perguruan dan kegiatan ilmiahnya yang mengharumkan nama Kelantan ke seluruh Asia Tenggara.

Dari sejak kecil lagi Tok kenali memperlihatkan tanda-tanda kebijaksanaan yang luar biasa dan minat yang amat mendalam terhadap ilmu pengetahuan . Menurut Abdullah al-Qari Haji Salleh (Aqhas) ,  Tok Kenali telah melanjutkan pelajarannya di Kota Bharu dalam usia kira-kira 10 tahun. Beliau mendapat didikan dan bimbingan menerusi guru-guru dan para ulama’ yang terkenal seperti Encik Ismail, Tuan Guru al-Sheikh Muhammad Ali bin Abdul Rahman,Tuan Guru Haji Taib Tuan Padang, Tuan Guru Haji Ibrahim Sungai Budor dan ramai lagi.

Setelah berpuashati dengan pelajaran-pelajaran asasnya, beliau telah melanjutkan peljaran ke kota suci Makkah pada tahun 1886. Kota Makkah sememangnya sejak berzaman merupakan pusat kegiatan ulama’-ulama’ besar Nusantara yang telah meletakkan batu asas pengajian Islam yang kukuh di Asia Tenggara. Makkahlah tempat para ulama’ ini menyusun dan mengarang karya-karya ilmiah yang besar serta mendidik dan melatih generasi ulama’ rumpun Melayu yang menjadi pemimpin Islam yang terkemuka di serata Nusantara.  Nama-nama masyhur dan terkemuka  seperti al-Sheikh Daud al-Fatani, al-Sheikh Abdul Samad al-Pelembangi, al-Sheikh Arshad al-Banjari, al-Sheikh Nawawi al-Bentani, al-Sheikh Ahmad Khatib al-Sumbasi (hanya sekadar menyebut beberapa nama) dan puluhan yang lain. Mereka ini terdidik di kota suci Makkah dan merupakan barisan ulama’ yang ideal dan menjadi sumber ilham dan dorongan bagi para pelajar Islam di zaman itu untuk dijadikan model terbaik dalam mengejar cita-cita mendalami ilmu Islam. 

Ketika Tok Kenali berada di Makkah, terdapat seorang ulama’ besar bernama al-Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa al-Fatani. Beliau seorang guru yang sangat alim serta  seorang pengarang yang amat handal dalam pelbagai bidang ilmu. Datuknya seorang mubaligh Islam dari Hadratmaut dan keturunan salasilahnya dikatakan bersambung dengan sahabat besar Saidina Uthman al-Affan. Beliau bukan sahaja menghasilkan karya-karya hebat dalam bidan-bidang ilmu Fiqh, Usulluddin dan tatabahasa Arab, malah turut menyumbang pemikiran dalam ilmu perubatan dan sejarah. Menurut catatan Haji Wan Muhammad Shahir bin Haji Abdullah Riau, beliau turut menyusun sejarah peperangan umat Islam Patani melawan penjajahan Siam. Beliaulah yang mengubah nama Patani sempena dengan umbi kata bahasa Arab ‘Fatan’ yang bererti fitnah , huru-hara dan kacau bilau. Ini membuktikan beliau mempunyai cita-cita politik yang tajam terhadap tanah tumpah kelahirannya.

Satu keahlian dan keistimewaan al-Sheikh Ahmad yang tidak ada pada ulama’-ulama’ besar lain di Nusantara yang terdahulu ialah kehandalan beliau mengarang di dalam bahasa Arab. Boleh dikatakan hanya beliau dan Sheikh Nawawi al-Bentani sahaja merupakan dua ulama’ rumpun Melayu yang mempunyai kesanggupan melahirkan karya-karya ilmiah dalam bahasa Arab setaraf dengan para ulama’ keturunan Arab.

Selama kira-kira 20 tahun Tok kenali menikmati segala macam ilmu pengetahuan yang penting di zamannya menerusi guru beliau Sheikh Ahmad. Beliau memperlihatkan dedikasi dan kebolehan yang luar biasa hingga beliau menjadi seorang ulama’ yang disayangi gurunya. Sebagai menghargai ketaatan dan kebolehan beliau, Sheikh Ahmad telah membawa beliau melawat Mesir pada tahun 1903. Lawatan mereka yang bersejarah itu berlangsung dalam dekad akhir zaman Muhammad Abduh, pembaharu dan penggerak umat Islam yang ulung di abad ke 20. Tiga tahun selepas lawatan tersebut, al-Sheikh Ahmad telah meninggal dunia.

Buat pertama kalinya Tok kenali mengalami satu keadaan kekosongan yang amat besar kekosongan yang amat besar dalam hidupnya. Beliau merasa kehilangan tujuan yang lebih jauh lagi untuk terus tinggal di Makkah kerana segala ilmu yang menjadi matlamat pelajar di zaman itu telahpun tercapai dari arwah gurunya. Kerana itulah kira-kira 2 tahun selepas kematian gurunya, beliau berangkat kembali ke Kelantan iaitu pada tahun 1908 dalam usia 40 tahun. 

Ketika Tok Kenali kembali dari Makkah, negeri Kelantan berada di bawah pemerintahan Sultan Muhammad IV dan ketika itulah rundingan-rundingan sedang rancak dijalankan di antara para pembesar Siam di satu pihak dengan pegawai kerajaan Inggeris di satu pihak yang lain. Setahun kemudian, Kelantan berada di bawah naungan penjajah Inggeris.


Jadi, tahun kembalinya Tok Kenali dari Makkah dapatlah dijadikan batu tanda bagi titik tolak permulaan zaman baru naungan Inggeris di Kelantan, dimana cabaran-cabaran baru ke arah kemajuan sedang menunggu tokoh-tokoh yang kembali dengan ilmu pengetahuan dan kebolehan mereka. Tanpa membuang waktu , Tok kenali terus memulakan kegiatan ilmiahnya di tanahair dengan membuka Pondok Kenali yang terkenal itu. Secara kebetulan, Kelantan ketika itu ditadbir oleh sahabat beliau Meneteri Besar Datuk Perdana Menteri Datuk Haji Nik Mahmud bin Ismail. Persahabatan diantara dua tokoh itu telah bermula sejak mereka berusia belasan tahun lagi dimana mereka sama-sama belajar dengan Encik Ismail yang merupakan bapa Datuk Nik Mahmud. Semasa di Makkah juga, kedua-duanya sempat berguru dengan al-Sheikh Ahmad walaupun berlainan bidang. Tatkala Tok kenali dapat mewarisi ilmu tatabahasa Arab dan ilmu-ilmu agama yang lain, Datuk Haji Nik Mahmud telah mewarisi ilmu dan pandangan kemasyarakatan dan siasah (politik) yang tinggi dari al-Sheikh Ahmad.


Kepulangan Tok Kenali sebenarnya telah menyambung semula satu persahabatan lama itu dan kedua-duanya terus bekerjasama dan berganding bahu dalam memajukan negeri Kelantan serta meluaskan penyebaran ilmu pengetahuan yang tinggi. Untuk maksud itu, Tok Kenali terpaksa berulang-alik ke Kota Bharu dan akhirnya bertugas di Masjid Besar Kota Bharu yang tidak lama selapas itu dikenali sebagai sebuah pusat pengajian tinggi Islam yang gemilang di Semenanjung Tanah Melayu.


Kerjasama antara kedua tokoh ini dapat dilihat apabila Tok Kenali sentiasa dirundingi oleh Datuk haji Nik Mahmud bukan sahaja dalam soal agama malah dalam persoalan umum. Ini kerana, disamping sifat Tok Kenali sebagai ulama’ besar, beliau juga terkenal mempunyai pandangan-pandangan yang tajam dalam bidang kemasyarakatan dan sahsiah. Gandingan kedua mereka telah menyaksikan tertubuhnya Majlis Agama Islam (1915), terbukanya Madrasah al-Muhammadiah (1918) dan terlancarnya majalah Pengasoh (1918). 

Setelah 25 tahun berbakti kepada masyarakat Islam, Haji Awang Muhammad Yusof Kenali telah kembali ke rahmatullah pada 19 November 1933 dengan meniggalkan satu barisan ulama’ yang terkenal seperti Tuan Guru Haji Yaakob Ligor, Tuan Guru Haji Ali Salehuddin, Tuan Guru Haji Uthman Jalaluddin Saring, Tuan Guru Haji Abdullah Tahir, Tuan Guru Haji Yaakub Ahmad dan Tuan Guru Haji Saad dan al-Sheikh Anjun dari Asahan Indonesia.

Walaupun Tok Kenali tidak meninggalkan hasil-hasil karya dan penulisan yang besar dalam mana-mana bidang pengajian Islam, jasa beliau yang paling besar ialah kejayaan beliau melahirkan satu angkatan ulama’ yang memegang obor pengajian tinggi Islam bukan sahaja di negeri Kelantan dan Malaysia, malah di Thailand, Kampuchea dan Indonesia di separuh abad pertama kurun ke 20. Beliau juga telah membawa kemuncak pengajian tatabahasa Arab, Nahu Saraf dan Balaghah di dalam sistem pelajaran pondok. Kepakaran beliau dalam bidang-bidang tersebut merupakan satu lagenda di kalangan ahli-ahli ilmu di zaman itu kerana dikatakan dalam kebanyakkan waktu beliau mengajar tanpa menggunakan kitab.
.
SIEKH HAJI ABDULLAH FAHIM

Tuan Hj Abdullah Fahim

ABDULLAH bin Ibrahim bin Tahir dipanggil dengan nama Haji Abdullah Pak Him. Pak Him ialah singkatan nama ayahnya, Ibrahim. Nama atau gelaran yang diketahui umum ialah Syeikh Abdullah Fahim. Fahim yang dimaksudkan di sini ialah `Fahim' yang berasal daripada bahasa Arab, yang bererti `orang yang faham'.

Beliau lahir di Mekah pada tahun 1286 Hijrah/1869 Masihi, dan wafat pada tanggal 12 Zulkaedah 1380 Hijrah/ 27 April 1961 Masihi di Seberang Perai, Pulau Pinang. Abdullah Fahim mendapat pendidikan asas tradisional daripada ayahnya sendiri, Haji Ibrahim bin Tahir di Mekah.

Ayahnya seorang yang alim mengenai bacaan al-Quran. Datuknya pula, Haji Tahir berasal dari Patani. Dikatakan juga bahawa beliau memahami ilmu-ilmu Islam tradisional cara Patani.

Ilmu yang dikuatkan adalah tiga jenis; ilmu yang berkaitan dengan fardu ain, iaitu menurut akidah Ahli Sunnah wal Jamaah, berimamkan Imam Abu Hasan al-Asy`ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi. Kedua, ilmu fikah mengikut Mazhab Syafie, dan ketiga, ilu tasawuf berimamkan Syeikh Junaid al-Baghdadi.

Selanjutnya Abdullah Fahim mendapat pendidikan pelbagai bidang ilmu juga di Mekah. Beliau menuntut ilmu daripada kira-kira 50 orang ulama. Di antara gurunya yang berbangsa Arab ialah Syeikh Muhammad Said Babsail (Mufti Mazhab Syafie), Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Sayed Abu Bakri Syatha (penyusun kitab I'anah at-Thalibin)

Ulama dari dunia Melayu yang menjadi gurunya yang paling berpengaruh baginya ialah Syeikh Muhammad bin Ismail Daudi al- Fathani (penyusun kitab Mathla' al-Badrain), Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan, al-Kalantani (penyusun Al-Jauhar al-Mauhub dan Lum'ah al-Aurad) dan Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (pengasas pengkaderan ulama dunia Melayu di Mekah yang dikatakan mempunyai kemahiran sekurang-kurangnya 47 disiplin ilmu).

Sewaktu menuntut ilmu di Mekah, Abdullah Fahim bersahabat dengan beberapa orang yang berasal dari dunia Melayu, yang kemudian menjadi ulama dan tokoh-tokoh yang cukup terkenal. Di antara mereka ialah: Tuan Guru Haji Umar, Sungai Keladi Kelantan (1284 H/1867 M -1366 H/1947 M), Syeikh Tahir Jalaluddin, Minangkabau (1286 H/1869 M-1376 H/1956 M), K.H. Hasyim Asy'ari, Jawa Timur (1287 H/1871 M-1366 H/1947 M), Tok Kenali, Kelantan (1287 H/1871 M-1352 H/1933 M) dan ramai lagi.

Abdullah Fahim seorang yang gigih mengajar kepada masyarakat dan menyebarkan ilmu-ilmu keIslaman, sama ada ketika menjawat jawatan Mufti Pulau Pinang atau sebelumnya. Beliau pernah mengajar di beberapa tempat di Kedah, Kuala Kangsar, Perak dan Pulau Pinang. Selanjutnya beliau berhasil mendirikan sekolah agama di Seberang Perai Utara.

Abdullah Fahim termasuk salah seorang ulama yang mahir dalam ilmu falak. Oleh kerana itu pendapatnya telah diminta untuk menentukan waktu yang sesuai bagi kemerdekaan Malaya. Berdasarkan hisab dan falak Syeikh Abdullah Fahim, ditentukanlah bahawa hari kemerdekaan Malaya jatuh pada tanggal 31 Ogos 1957.

Mengenai ilmu hisab dan falak, beliau mempelajarinya daripada Syeikh Ahmad al-Fathani dan kemudian memahirkannya daripada Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Muhammad/ Syeikh Nik Mat Kecik bin Ismail Daudi al-Fathani, sahabatnya.

Ulama dunia Melayu yang seangkatan dengannya yang mahir dalam ilmu hisab dan falak tidak begitu ramai. Di antaranya yang berasal dari Malaysia ialah: Haji umar, Sungai Keladi Kelantan, Haji Abu Bakar bin Haji Hasan, Qadhi Muar, Johor. Sementara mereka yang berasal dari Indonesia pula ialah Syeikh Jamil Jambek dan Syeikh Tahir Jalaluddin. Mereka yang berasal dari Patani ialah Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani dan Syeikh Abdur Rahman Gudang al-Fathani.

Ilmu langka, selain ilmu hisab dan falak yang dikuasai oleh Abdullah Fahim, ialah ilmu sastera Arab, yang dinamakan juga ilmu `arudh dan qawafi. Termasuk juga di dalamnya ialah ilmu isti`arah dan ilmu balaghah. Pengkaderan ilmu yang tersebut juga dimulai dengan kebangkitan Syeikh Ahmad al-Fathani.

Kader dan murid Syeikh Ahmad al-Fathani yang mahir menggubah syair dalam bahasa Arab secara profesional hanya beberapa orang, di antara mereka ialah: Syeikh Abdullah Fahim, Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani dan Syeikh Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh al-Islam Selangor.

Karya-karya hasil tulisan Abdullah Fahim yang paling dapat ditonjolkan hanyalah melalui syair-syairnya dalam bahasa Arab, yang ditulis di dalam beberapa buah kitab yang diterbitkan oleh Persama Press Pulau Pinang, terutama sekali di dalam kitab-kitab mengenai ilmu hadis.

Di antaranya dalam kitab al-Hadiqah an-Nadiyah fi al-Hadits an-Nabawiyah yang disusun oleh Abi Abdil Hay Muhammad Isa bin Ibrahim ar-Rawa al-Filfulani (Rabiulakhir 1352 H). Ada yang mengatakan bahawa Abdullah Fahim pernah menyusun sebuah kitab tafsir dan kitab mengenai ilmu falak tetapi tidak sempat diselesaikannya.

Walau bagaimanapun di atas selembar kertas dapat disemak jalan pemikirannya, di antaranya beliau beliau menulis:

``Tuan-tuan sedia maklum, beratus-ratus tahun bahawa orang-orang bangsa Melayu se Malaya ini dari peringkat ke bawah hingga peringkat ke atas, awam-awam, qadhi-qadhi, ulama-ulama, menteri-menteri, hingga raja-raja, sekalian mereka itu bermazhab dengan Mazhab al-Imam asy-Syafie ijma'an. Tiada seorang pun yang bermazhab lain daripada Mazhab Syafie ... ``

Abdullah Fahim menyebut nama kitab-kitab Arab yang dipegang di dalam Mazhab Syafie ialah, ``Ambil mereka itu hukum fikah Syafie daripada kitab Tuhfah, dan kitab Nihayah hingga kitab al-Umm dan mukhtasharatnya ... ``

Walaupun ilmu pengetahuan Arabiyahnya luas melaut, namun beliau juga merujuk kitab-kitab bahasa Melayu yang dikarang oleh ulama-ulama dunia Melayu yang terkenal. Kitab-kitab yang beliau sebut ialah, ``Dan terjemahannya kepada bahasa Melayu, seperti Sabil al-Muhtadin, Bughyah at-Thullab, Mathla' al-Badrain dan lainnya''

Mengenai pegangan akidahnya, Abdullah Fahim menulis, ``Usuluddin atas perjalanan Abi al-Hasan al-Asy'ari. Diambil dari syuruh dan hawasyi Umm al-Barahin, dan Jauharah ... ``

Pegangan akidah dalam bahasa Melayu pula beliau sebut, ``Dan sebagainya daripada kitab-kitab Melayu''. Yang dimaksudkan di sini semua kitab Melayu/Jawi yang membicarakan akidah yang dikarang oleh ulama-ulama dunia Melayu muktabar.

Beliau pernah belajar dan mengajar kitab berkenaan, di antaranya Faridah al-Faraid oleh guru beliau, Syeikh Ahmad al-Fathani, Aqidah an-Najin juga oleh guru beliau yang bernama Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani dan ad-Durr ats-Tasamin oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, dan kitab-kitab akidah lainnya.

Mengenai pegangannya di dalam tasawuf, beliau menulis, ``Ilmu tasawuf atas perjalanan al-Imam al-Ghazali diambilkan daripada Minhaj al-Abidin, Ihya' Ulumid Din ...''

Di dalam tasawuf beliau juga memartabatkan pengkaryaan ulama Melayu. Katanya, ``Dan terjemahnya kepada bahasa Melayu, seperti Siyar as-Salikin''.

Abdullah Fahim menegaskan, ``Maka ini kitab-kitab dan seumpamanya, segala hukum dalamnya kesemuanya mengistinbat daripada al-Quran dan hadis yang dihalusi dan ditapis oleh ulama-ulama ajilla', diamal dengan dia sudah lebih dari seribu tahun dan terjemah kepada bahasa Melayu beratus-ratus tahun.''

Di antara anak Syeikh Abdullah Fahim ialah Datuk Haji Ahmad Badawi. Beliau adalah seorang alim yang bertanggungjawab menangani sekolah agama yang didirikan oleh ayahnya.

Di antara anak Datuk Haji Ahmad Badawi pula ialah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang secara rasmi dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia pada hari Jumaat, 31 Oktober 2003 Masihi bersamaan 5 Ramadan 1424 Hijrah.


Tulisan: Mohd Saghir Abdullah (uL\lama_nusantara.blogspot.com

SIEKH HAJI MUHAMMAD IDRIS AL MARBAWI
Pakar Bahasa Arab


Siekh Muhammad Idris al Marbawi
(1896 - 1989)

Syeikh Idris dilahirkan di sebuah kampung bernama Misfallah di Makkah pada 28 Dzulkaedah 1313 Hijrah bersamaan 10 Mei 1896. Ibu bapa beliau berasal dari Kampung Lubok Merbau, Kuala Kangsar, Perak Darul Ridzuan. Ketika berusia 10 tahun, beliau sudah mampu menghafal kitab suci Al-Quran sebanyak 16 juzuk, di samping beberapa buah kitab lain. Pada tahun 1323 Hijrah, beliau pulang ke Malaysia bersama-sama keluarga.
Sekembalinya ke Malaysia, beliau meneruskan pengajiannya di Sekolah Melayu Lubok Merbau (kini dikenali Sekolah Kebangsaan Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi). Seterusnya beliau melanjutkan pengajiannya di beberapa buah sekolah pondok, antaranya Pondok Wan Mohammad, Bukit Chandan, Kuala Kangsar (kini dikenali sebagai Madrasah Idrisiah), Pondok Tuan Hussien Al-Masudi (Kedah), Pondok Syeikh Ahmad al-Fatani (Bukit Mertajam) dan Pondok Tok Kenali (Kelantan). Setelah menamatkan pengajian, beliau bertugas sebagai guru agama di Perak.
Pada tahun 1924, beliau menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir, dan berjaya memperoleh Ijazah 'Aliyah (tertinggi). Beliau merupakan anak jati Perak pertama berjaya melanjutkan pengajiannya di Makkah. Semasa berada di sana, beliau menyusun kamus Arab-Melayu atau dikenali sebagai Kamus Al-Marbawi yang diterbitkan dalam tahun 1937 dan telah diulang cetak lebih daripada 24 kali. Kamus ini pada mulanya disusun oleh tiga orang iaitu beliau sendiri, Syeikh Juned Tola, dan Syeikh Tahir Jalaluddin. Namun, ketika dua tokoh yang terakhir ini kembali ke tanah air, karya itu diteruskan sendiri oleh Syeikh Idris al-Marbawi sebagai pengarang kamus tersebut.

Atas sumbangan dan jasa besar dalam keagamaan dan persuratan, Syeikh Idris dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 5 Julai 1980. Pada 1 Muharram 1408 Hijrah bersamaan 28 Ogos 1987, beliau diisytihar sebagai Tokoh Ma’al Hijrah Kebangsaan yang pertama.
Pada 19 April 1988, beliau telah dianugerahkan Pingat Ahli Mahkota Perak (AMP) oleh Sultan Perak, Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Yussuf Izzuddin Shah sempena hari keputeraan baginda.
Beliau adalah seorang tokoh ilmuan yang warak dan amat mementingkan hubungan kekeluargaan. Orang ramai yang mengenali beliau ternyata amat menyenangi dan menghormatinya. Keperibadian mulia di samping ketajaman fikiran walaupun telah berusia 90-an, merupakan aset beliau yang amat berharga. Penghayatan beliau terhadap ilmu, sifat rendah diri, di samping sifat dahagakan ilmu yang dimiliki, tidak dapat dinafikan lagi.
Bahkan semasa diminta berucap setelah dianugerahkan Tokoh Ma’al Hijrah, beliau dengan terus terang menyatakan yang beliau tidak layak berucap di situ kerana merasakan dirinya masih kekurangan ilmu. Dalam satu kejadian lain pula, beliau telah dilihat mengambil wudhu’ dengan menggunakan air yang sangat minimum yang tidak habis segayung air.
Sepanjang hampir 60 tahun berada di Timur Tengah, beliau banyak menjelajah dan menyaksikan pelbagai bentuk kebangkitan Islam selain daripada menjalankan kerja berdakwah. Ini telah banyak memberi kesedaran dan pengalaman berguna kepada beliau. Atas dasar ingin melihat lebih ramai muda mudi memperolehi pendidikan yang sempurna, beliau telah menggunakan wang ganjaran Tokoh Ma’al Hijrah untuk membolehkan anaknya menubuhkan sebuah Kolej Pengajian Islam yang dinamakan Kolej Idris Al-Marbawi Al-Islami di Ipoh, Perak. Tenaga pengajarnya terdiri daripada anaknya, Mariam dan cucu-cucunya serta beberapa orang tenaga pengajar luar.
Walaupun belum puas mencurahkan bakti dan ilmu kepada seluruh umat manusia, ternyata Allah SWT lebih menyayangi beliau. Beliau telah kembali ke Rahmatullah ketika berusia 93 tahun pada hari Jumaat, 13 Oktober 1989, jam 8.30 pagi di Hospital Besar Ipoh, Perak. Jenazah beliau disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lubok Merbau, Kuala Kangsar, Perak, bersebelahan pusara isteri beliau, Khadijah binti Mohamad Idham yang telah meninggal dunia 14 bulan sebelum itu. Beliau telah meninggalkan seorang anak perempuan, tiga orang cucu dan tujuh orang cicit yang tinggal di Malaysia. Di samping itu beliau telah meninggalkan balu kedua, Hajjah Munirah binti Abdul Wahab yang menetap di Mesir.
Bagi mengenang jasa beliau, namanya telah diabadikan di sebuah kolej kediaman di Universiti Kebangsaan Malaysia dengan dikenali sebagai Kolej Idris al-Marbawi. Namanya juga diabadikan di sekolah tempat beliau menuntut ilmu di Kampung Lubok Merbau iaitu Sekolah Kebangsaan Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi.

Antara hasil karya besar Sielh Idris Marbawi ialah:
  • Kamus al-Marbawi
  • Kitab Bahrul Mazi
  • Tafsir Quran Al Marbawi
  • Tafsir Surah Yasin
  • Tafsir Nurul Yaqin
  • Tafsir Fathul Qadir
  • Kitab Bulughul Maram
  • Kitab Jami'ul Ulum
  • Usulul Islam
  • Nizamul Hayah
  • Mu'jamul Ka'inat ( 4 Jilid ) dan lain-lain.


SIEKH TAHIR JALALUDDIN
Pakar Ilmu Falak
(1969 - 1956)


.
Nama penuhnya Muhammad Tahir bin Syeikh Muhammad. atau dikenali dengan gelaran Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin Al-Falaki Al-Azhari (9 Disember 1869 - 26 Oktober 1956), merupakan tokoh bidang Falak Syari di alam Melayu Nusantara yang telah memantapkan bidang fardu kifayah tersebut di rantau ini menerusi pengajaran, penggunaan dan penyibaran ilmu tentangnya di kalangan 'alim ulamak yang bertanggungjawab membuat taqwim Islam tempatan.

Sheikh Muhammad Tahir dilahirkan pada hari Selasa 4 Ramadhan 1286 Hijrah bersamaan 7 November 1869 di Ampat Angkat, Bukit Tinggi Minangkabau, Sumatra Barat. Bapanya seorang ulamak dikenali sebagai Sheikh Muhammad (juga bergelar Tuanku Muhammad atau Tuanku Cangking); datuknya keturunan bangsawan Minangkabau bernama Tuanku Ahmad Jalaluddin.

Beliau yatim ketika kecil lagi dan dibesarkan oleh keluarga pihak ibunya; dan apabila berumur hampir 12 tahun, telah dihantar ke Makkah untuk belajar dan mendalami ilmu-ilmu agama Islam. Beliau berada di Makkah selama lebih 12 tahun. Di antara bidang-bidang yang telah beliau perolehi dan perdalami ialah ilmu-ilmu al Qur'an, Hadith, Tauhid, Fiqah, Usul Fiqh, Nahu, Saraf, Bayan, Ma'ani, Badi', 'Arudh, Mantiq, Tafsir, Hisab Handasah dan Falak. Beliau banyak dipengaruhi oleh ilmu, pendekatan dan kealiman peribadi gurunya, Sheikh Ahmad Khatib iaitu saudara berpangkat sepupu dengannya yang pada waktu itu terlantik sebagai Mufti Mazhab Shafi'i di Masjidil Haram. Sheikh Tahir pulang ke Sumatra ketika berumur 24 tahun dan selepas 4 tahun di sana, sekali lagi berangkat ke Timur Tengah, kali ini ke Mesir.

Bidang Falak telah beliau perdalami lagi semasa belajar di Universiti Al-Azhar, Mesir selama 4 tahun (1314-1318 H. bersamaan 1893-1897 M.). Semasa di situ beliau menerima juga pengaruh daripada pemikiran Sayid Jamaluddin Al-Afghani dan Sheikh Muhammad Abduh, tokoh Gerakan Isiah (Pembersihan) dan Reformasi Islam yang berjuang untuk membersihkan Islam daripada fahaman yang bercampur-baur adat-resam kuno, dan mengembalikan Islam ke landasan al-Qur'an dan Hadith yang suci. Lantaran kegiatan Sheikh Muhammad Tahir yang berkait dengan pemikiran Reformasi inilah, beliau dikenali juga sebagai ahli'Kaum Muda'atau golongan ulamak Reformis di kalangan masyarakat Melayu-Nusantara. 

Semasa di Mesir beliau mula berdampingan dengan tokoh-tokoh perjuangan Islam -seperti Sheikh Muhammad Rashid Ridha -- yang bergiat dalam penulisan rencana-rencana melalui akhbar yang berunsur Islam, seperti Al-Manar. Sheikh Muhammad Tahir pernah juga menyumbangkan rencana-rencana ilmiah dalam akhbar tersebut. Pendekatan seperti ini telah beliau terapkan sekembalinya ke Tanah Melayu, dengan membuat banyak sumbangan kepada majalah-majalah Al-lmam dan Al-lkhwan (di bawah kelolaan Syed Sheikh Syed Ahmad Al-Hadi dan lain-lain rakannya, dan akhbar -Saudara.

Dalam zaman mudanya, Sheikh Tahir kerap berulang-alik ke Makkah dan Mesir, sama ada untuk membawa jemaah haji dari Sumatra ataupun untuk membuat perniagaan secara sampingan. Perkahwinan Sheikh Muhammad Tahir semasa zaman mudanya di Sumatra tidak kekal. Beliau bernikah dan bercerai sebanyak 5 kali semasa itu, di atas persetujuan pihak-pihak isteri berkenaan, kerana adat Minangkabau waktu itu sangat mendorong para wanita dan keluarga mereka untuk memperolehi zuriat daripada 'alim ulamak. Walau bagaimanapun, sistem Adat Perpatih yang kuat itulah juga di antara sebab-sebab Sheikh Tahir berpindah keluar dari daerah Minangkabau dan merantau ke Tanah Melayu mulai tahun 1317H/ 1899M.

Perkahwinan Sheikh Muhammad Tahir pada 21 Jamadilawal 1317 H. bersamaan 28 September 1899 M., dengan isterinya yang keenam bernama Aishah binti Haji Mustafa, anak seorang saudagar dari Kuala Kangsar, Perak kekal sehingga akhir hayatnya. Mereka dikurniakan dengan enam orang anak -- iaitu Rahmah, Muhammad, Ahmad, Azizah, Hamdan dan Hamid. Menerusi asuhan ibu yang berdidikasi, didikan Sheikh Tahir yang unik, kemudahan pendidikan bercorak baru dan bakat serta rezekinya sendiri, maka anak Sheikh Tahir yang kelima, Tun Hamdan Sheikh Tahir terus meningkat dalam dunia pendidikan dan kerjayanya sehingga menjawat beberapa jawatan tinggi seperti Pengarah Pelajaran Malaysia, Naib Canselor USM dan menjadi TYT Yang dipertua Negeri Pulau Pinang serta mendapat gelaran Tun.

Sebagai ulamak dan pejuang agama, Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin telah menjelajah ke banyak tempat di alam Melayu-Nusantara termasuk Tanah Melayu, Sumatra, Singapura dan Kepulauan Riau. Semasa di Sumatra (1348 H./1927 M.) beliau pernah dipenjarakan oleh penjajah Belanda atas suatu tuduhan palsu, tetapi akhirnya telah dibebaskan selepas ditahan selama enam bulan. Beliau mempunyai semangat anti penjajah yang kuat, di samping mempunyai pendirian yang tegas dan keras dalam hal-hal keagamaan. Inilah di antara aspek peribadinya yang menyebabkan Sheikh Tahir tidak dapat menetap lama di sesuatu tempat, di samping adanya pergeseran dengan golongan ulamak 'Kaum Tua'.


Beliau menjadi Hakim Besar Mahkamah Syariah di Taiping, kemudiannya terlantik sebagai Mufti Negeri Perak Darul Ridzuan selama 3 tahun, dalam zaman pemerintahan Sultan Idris. Walau bagaimanapun, fatwa-fatwa Sheikh Tahir tidak diterima oleh ulamak golongan 'Kaum Tua'. Beliau berkhidmat dengan negeri Johor Darul Takzim pada tahun 1335 H. (1914 M.), sebagai Pendidik dan Nazir sekolah-sekolah agama Johor selama 4 tahun; dan sekali lagi selama 3 tahun (1346-49 H./ 1925-28 M.). Dalam lingkungan masa yang sama, beliau sempat berkhidmat sebagai mudir (guru besar) Madrasah Haji Muhammad Taib, di Parit Jamil, Muar -- iaitu sebuah sekolah menengah agama yang memberi pengajaran-pembelajaran Islam yang menyeluruh sambil menekankan bahawa Bahasa Melayu, Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris hendaklah dipelajari untuk menambahkan ilmu pengetahuan. Dalam dunia pendidikan Sheikh Tahir sentiasa mempunyai pemikiran dan pandangan yang jauh ke hadapan daripada pemikiran semasa dalam zamannya. Sheikh Tahir pernah bermastautin di Singapura untuk memberi sumbangan penulisan dan penerbitan majalah Al-Imam. Beliau berkhidmat di Madrasah Al-Masyhoor Pulau Pinang sebagai Pendidik dan Pengetua selama 3 tahun (1341-44 H./ 1920-23 M.), kemudian pulang ke Kuala Kangsar.

Sheikh Tahir ke Makkah sekali lagi pada tahun 1349 H. (1928 M.), kemudiannya bersara di Kuala Kangsar, Perak mulai tahun 1350 (1929). Namun begitu, beliau terus aktif sehingga akhir hayatnya sebagai ulamak-penulis dan ahli Falak Syar'i yang menabur khidmat baktinya kepada ramai penuntut yang kemudiannya menjadi ulamak.

Sheikh Muhammad Tahir telah melahirkan karya-karya yang meliputi beberapa bidang. Yang paling penting dari sudut Falak Syar'i ialah kitab Natijatul'Umur (diterbitkan pada tahun 1357 H./ 1936 M.) iaitu kira-kira untuk Taqwim Hijrah dan persamaannya dengan Taqwim Miladi (Masehi), hala kiblat, dan waktu solat untuk sepanjang zaman; dan Kitab Jadual Pati Kiraan iaitu panduan untuk menentukan waktu solat dan arah kiblat berserta logarithms untuk mengiranya (diterbitkan pada tahun 1362 H./ 1941 M.).

Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin Al-Falaki Al-Azhari telah kembali ke rahmatullah pada pagi Jumaat 21 Rabiulawal 1377 (bersamaan 26 Oktober 1956) pada usia 87 tahun, dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Baru, Kuala Kangsar, Perak. Jabatan Muzium Negara Malaysia telah mengistiharkan tempat pemakaman beliau sebagai makam bersejarah untuk memperingati jasa beliau. Kini Kerajaan Negeri Pulau Pinang menamakan sebuah Pusat Observatori di Pantai Acheh Pulau Pinang sebagai Pusat Falak Sheikh Tahir, bagi memperingati peranan dan ketokohan beliau dalam bidang Falak.

Sumber: wikipedia

SEIKH USMAN PENANTI


Almarhum Sheikh Osman Jalaluddin bin Abdus Samd atau lebih terkenalsebagai Siekh Osman Penanti merupakan seorang alim di Penanti, Bukit Mertajam dan Makkah Al-Mukarramah. Beliau dilahirkan di Kg Panjang, Sering, Kota Bharu, Kelantan pada tahun
1880 M/1297H. Bapanya, Muhammad bin Abdus Samad merupakan seorang yang kaya dan terkenal sebagai seorang bomoh yang mahir dalam mengubati penyakit bertih, puru dan penyakit orang gila.

Sheikh Osman telah menunjukkan minatnya terhadap ilmu pengetahuan sejak zaman kanak-kanak lagi. Beliau mulai mempelajari kitab jawi di Pondok Hj Jamal, Perupok kemudian beliau belajar pula dengan Mufti Hj.Wan Muhammad bin Hj Abdul Samad di Kota Bharu dan juga Tuan Guru Hj Abdul Malek di Sungai Pinang dan beberapa orang yang lain. Beliau kemudian bertolak ke Mekah melalui jalan laut dan bermukim di Mekah selama 4 tahun.

Semasa di Mekah, beliau mempelajari cabang-cabang (furu’) syariat dan lain-lain bidang yang berkaitan dengan Islam. Sekembalinya ke tanahair beliau memulakan pengajiannya di Pondok Tok Kenali. Hasil ketekunan dan kepintarannya, beliau telah dilantik sebagai pembantu kepada Ulamak besar itu bagi mengajar kitab-kitab Fiqh kepada para pelajar lain.

Sheikh Osman cuba membuka sebuah pondok sendiri di Pasir Kasar, Sering. Setelah 2 tahun, pondok itu terpaksa ditutup kerana kurang sambutan. Dengan tekad baru, dia berpindah ke Kampung Tapang dan memulakan sebuah pondok yang lain. Nasib yang sama juga menimpa dirinya. Tanpa bersedia menyerah kalah, dia menubuhkan pula sebuah pondok di Lepah, Bukit Abal, daerah Pasir Puteh. Seperti dahulu juga, dia mengajar sambil berkebun. Tetapi setelah lebih dua tahun beroperasi, pondok yang ketiga itu turut terkubur.

Atas nasihat Tok Kenali, maka Sheikh Osman berangkat buat kali keduanya ke Mekah bersama-sama anak dan isterinya (kemudian anak dan isterinya mati di Mekah). Sheikh Osman tetap tinggal di Makah dan melanjutkan pelajarannya dengan tekun, mempelajari ilmu Hadith dan Tafsir daripada Sheikh Umar Hamdan dan Sheikh Ali Maliki. Gurunya dalam bidang Fiqh ialah Sheikh Sai’d Yamani, yakni Mufti bagi Mazhab Syafi’i, di Mekah. Dalam pada itu, beliau mempelajari kitab Tuhfah daripada Sheikh Muktas ‘Atarid Al-Jawi dan kitab Mahalli daripada Sheikh Muhammad Patani. Melalui kegigihannya dan berkat doanya kepada Allah, dia telah diterima untuk mengajar di Masjidil Haram, Mekah iaitu di kawasan Qasyasyiah dan Suqullail.

Beliau kemudiannya berkahwin dengan Hajjah Sarah bt.Hj Mohd Salleh di Mekah.

Setelah beberapa lama mengajar di Masjidil al-Haram, nama Syeikh Osman semakin menjadi terkenal. Ramai jema’ah haji Melayu dan Indonesia yang mengunjungi serta mengikuti kuliah agamanya. Sementara itu, Hj.Arshad dan Hajjah Tijah, dua orang jema’ah haji dari Penanti, Bukit Mertajam, Seberang Perai, telah datang menemui Syeikh Osman dan memintanya padanya supaya datang untuk mengajar di daerah Penanti. Mereka yang bersuami isteri itu berjanji untuk menolongnya bagi mendapat tanah agar sebuah pondok pengajian agama didirikan.

Melihat akan keikhlasan kedua-dua orang itu Syeikh Osman terasa terharu. Beliau telah menunaikan solat istikharah sebelum membuat keputusan untuk kembali ke Tanah Melayu (Malaya) dan bermukim pula di Penanti. Dengan persetujuan keluarganya, Syeikh Osman berangkat ke Penanti mendirikan sebuah pondok yang di beri nama “Manabi’ul Ulum Wa Mathali’ Al-Nujum” (Tempat Terpancarnya Ilmu Pengetahuan dan Tempat Munculnya Bintang-bintang). Pondok itu didirikan di atas sebuah tanah yang di wakafkan oleh Hj Arshad dan Hajjah Tijah pada tahun 1932M. Pada peringkat awalnya, ia menampung sekadar 50 orang murid. Namun begitu, telah berlaku pula satu pengkianatan yang menyebabkan beliau diusir dari situ. Tuan Guru itu terpaksa berpindah ke satu tempat bernama Kampung Petani. Segala pondok yang didirikan dengan titik peluh Syeikh Osman dan para muridnya diusung ke tapak yang baru itu.

Tetapi sejurus kemudian berkat keikhlasan Hj Arshad, krisis tersebut dapat di selesaikan. Pengkhianat itu telah dihukum dan tanah wakaf tersebut di serahkan kembali kepada Syeikh Osman. Sejak itu pondok Manabi’ul Ulum beroperasi kembali dengan pesatnya sehingga ramai pelajar yang datang untuk belajar di sana dari seluruh Malaysia, Indonesia mahupun Thailand.

Syeikh Osman menumpukan sepenuh tenaganya untuk mengajar siang dan malam baik melalui pidato atau penulisannya.  Biasanya, Syeikh Osman mulai mengajar selepas waktu Subuh dan hanya berhenti untuk makan sebelum masuknya waktu Zohor. Kemudiannya, beliau menyambung semula pelajaran sekitar pukul 2.00 petang sehingga pukul 6.00 petang. Namun, hanya sebahagian sahaja daripada para muridnya yang mengikuti pengajian pada lewat petang. Yang lainnya berehat atau bermain bola.

Pada waktu sebelah malam, Syeikh Osman mengajar daripada selepas Maghrib hinggalah ke tengah malam. Demikianlah, jadual pembelajarannya yang dilaksanakannya sendiri, melainkan jika terdapat sesuatu keuzuran seperti kematian, menziarahi orang sakit atau ketika beliau menulis buku. Dalam pada itu, dia pernah dibantu oleh menantunya Tuan Guru Hj Abdul Mutthalib bin Hj Puteh dan beberapa orang pembantu.

Dalam mengendalikan pengajiannya, Syeikh Osman pernah mengguna hampir 25 buah buku rujukan dalam masa sehari semalam. Antara kitab-kitab itu termasuklah Al-Iqna’, Al-Tuhfat, Ihya’,'Ulumuddin, An-Nihayah dan tafsir-tafsir seperti Al-Shawi serta Al- Badhawi. Untuk membiayai segala aktiviti di pondoknya itu, beliau bergantung kepada sumbangan zakat dan fitrah atau sedekah yang diberi oleh para penduduk Kubang Ulu, Kubang Semang dan kawasan sekitar Bukit Mertajam. Beliau juga mengenakan yuran sebanyak $3.00 bagi membeli minyak tanah yang diperlukan oleh para murid ketika mereka bermutala’ah. Sebahagian daripada pendapatan diperolehi juga olehnya melalui penjualan karya-karya yang dituliskannya sendiri.

Disamping berpidato, Sheikh Osman telah menumpukan tenaga dan fikirannya untuk berdakwah secara tulisan.Ini dilakukan bukan sahaja kerana cintanya kepada sastera,malah dia bergiat untuk membasmikan Khurafat, Bidaah serta penyelewengan yang berada di tengah-tengah masyarakat. Dalam kitabnya, Misbah Al Hana Wa Miftah Al Jinan, antara lain dia menulis:

“Ayuhai ikhwan jangan tuan hamba diperdayakan dengan segala ahli tasawwuf yang jahil, yang mendakwakan pada mereka itu ilmu isi yang sebenar dan iaitu ilmu rahsia, ertinya ilmu hakikat kerana bukannya ilmu hakikat bahkan ilmu Bidaah yang sesat yang mengada-adakan akan dia oleh orang yang mubtadi’(pembuat bidaah) yang dahulu kala kerana hendak menyiksa akan orang-orang yang Islam. Maka jika tuan hamba dapat yang pelik-pelik daripada yang tiada mempunyai ilmu,janganlah tuan hamba memakai akan dia melainkan kemudian daripada mengesahkan dia pada orang alim yang masyhur dengan ilmunya kerana tiada dimengetahuikan ilmu yang sebenarnya atau tiadanya melainkan orang yang alim”.

Syeikh Osman memangnya merupakan seorang sasterawan yang berkebolehan luar biasa. Semasa hayatnya, dia telah menghasilkan lebih daripada sepuluh buah karya dalam Bahasa Arab mahupun Bahasa Melayu. Meskipun bahasa yang dipakainya adalah mengikut gaya atau lenggok Bahasa Melayu lama, namun mesej yang dibawanya adalah mudah untuk difahami. Karya-karyanya adalah seperti berikut:

·         Mir’at al-Iman wa Mirqat al-Ghilman (Cermin bagi Iman dan Tangga bagi Kanak-Kanak). Buku ini membahas tentang Tauhid, tasawwuf dan menolak pendapat-pendapat yang karut dan bid’ah. (1339 H).
·         Misbah al-Hanan wa Miftah al-Jinan (Pelita bagi Hati dan Kunci bagi Syurga). Pembicaraanya dalam bidang tasawwuf dan pembersihan hati. (1330 H).
·         Siraj al-Islam wa Taj al-Ghulam (Pelita bagi Islam dan Mahkota Kanak-Kanak). (Mengandungi Sejarah Nabi s.a.w)
·         Fath al-Mu’in Arab Melayu. Buku ini terjemahan dari Fath al-Mu’in bahasa Arab. Selain daripada menterjemah, Syeikh Osman telah mencatat sejarah-sejarah fiqh dan adat-adat serta fadhilat-fadhilat belajar. Buku ini dikarang di Makkah. Juzuk I (1354),  Juzuk II (1355) dan Juzuk III (1355).
·         Nujum al-Muhtadim wa Rujum al-Mu’tadin. Buku ini mengandungi sejarah para rasul dan membahas tentang kaum muda dan kaum tua. (1934).
·         Matali’ al-Anwar wa Majami’ al-Azhar. Mengandungi tarikh alim ulama’, perpecahan alim ulama’, perselisihan Mazhab Wahhabi, Ibnu Hazm dan Ibnu Taimiyah dan Ahli al-Sunnah wa al-Jamaah serta sejarah dirinya sendiri. (1353 H).
·          Anwar al-Huda wa Amtar al-Nada (Beberapa Cahaya bagi Penuntut dan Hujan bagi Embun) terjemahan Tafsir Jalalain. Juzuk I (1353) dan Juzuk II (1354).
·          Al-Syarh al-Kabir-Bahasa Arab.Buku ini dibuat taqyid dan hasyiah untuk menjelaskan kandungannya dengan bentuk syarah yang pendek. (1358).
·         Tasrif al’Arffi Tasrif al-Sarf-bahasa Melayu (Pilihan dari Bau-bauan yang harum pada Tasrif Ilmu Saraf. Buku ini dikarang dalam bahasa Arab berbentuk syair, kemudian diterjemahkan ke Bahasa Melayu sebagai kaedah untuk kemudahan para pelajar saraf.
·          Alamat-Alamat Kiamat. Buku ini membicarakan tentang alamat-alamat kiamat (15 perkara) termasuk kedudukan alim ulamak, yakni ulamak dunia dan ulamak akhirat, masalah syurga, neraka dan sebagainya.

Setelah berjuang dengan gigihnya untuk menyebarkan risalah Islam, Syeikh Osman telah pulang ke rahmatullah di Makkah al-Mukarramah pada waktu Subuh pada tahun 1952. Beliau meninggal dunia ketika usianya 72 tahun. Berikutnya, jenazahnya telah dikebumikan di Haudh al-Naqsyabandiyah berhampiaran dengan makam gurunya Syeikh Muhammad Mukhtar ‘Atarid.

Demikianlah, walaupun jasadnya sudah tiada, ilmu yang ditinggalkannya melalui karya-karya tulisan dan para muridnya, termasuk puteranya sendiri, Tuan Guru Hj.Salleh Penanti, terus berkembang bagi melahirkan tokoh-tokoh agama yang baru. Malahan, kesan daripada usahanya yang gigih itu terus membuahkan perkembangan yang positif, yakni ada diantara murid-murid lulusan pondoknya yang diterima untuk belajar di Universiti Madinah dan Ma’ahad al-Makki, kedua-duanya institusi pengajian agama yang terkenal di Arab Saudi.

Sumber: www.pondokmenanti.com

TUAN HAJI HUSSEIN KEDAH ALBANJARI


Tuan Hj Hussein Kedah alBanjari
(1863 - 1936)

Tuan Hussein Kedah al-Banjari atau nama penuhnya Abu Abdullah Hussein bin Muhammad Nasir bin Muhammad Thayyib bin Mas’ud bin Qadhi Abu Su’ud bin Syaikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari dilahirkan pada hari Ahad 20 Jamadilawal 1280H bersamaan 2 November 1863 di Titi Gajah, Kedah. Nama timangan sewaktu kecilnya adalah Che Megat. Gelaran Megat diperolehi kerana ayah beliau Haji Muhammad. Nasir, seorang kebanyakan telah berkahwin dengan Tengku Fathimah binti Tengku Mahmud, seorang kerabat Diraja Kubang Pasu, Darul Qiyam. Kemudiannya beliau mashyur dengan nama Tuan Guru Tuan Hussin Kedah. 
Keturunan Tuan Hussin Kedah adalah berasal dari Kelompoyan Martapura Banjarmasin, Kalimantan, Indonesia. Dan beliau adalah dari keturunan seorang ulama yang sangat tersohor di Nusantara iaitu Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari, pengarang kitab Sabil al-Muhtadin. Sejarah kedatangan keturunan beliau ke Kedah adalah apabila datuk kepada datuknya yang bernama Qadhi Haji Abu Su'uddiceritakan bahawa beliau pulang dari Makkah untuk meneruskan perjalanannya pulang ke Banjar telah singgah di Kedah. Apabila Sultan Kedah mendapat tahu kehadiran ulama Banjar ini maka baginda Sultan Kedah telah meminta kepadanya supaya tinggal di Kedah untuk menjadi guru baginda dan juga rakyat Kedah. 
Di Kedah Qadhi Haji Abu Su'ud al-Banjari atas kehendak Sultan Kedah telah kahwin dengan perempuan bernama Rajmah. Dari perkahwinan itu memperoleh anak dinamakan Mas'ud, iaitu moyang kepada Tuan Hussin Kedah. Moyang kepada Tuan Hussin Kedah ini iaitu Haji Mas’ud bin Qadhi Abu Su’ud selain menjadi ulama di Kedah, beliau juga dilantik oleh Sultan Kedah, menjadi salah seorang panglima perang kerajaan Kedah ketika menentang kerajaan Thai (Siam Budha). Dan beliau gugur sebagai syahid ketika peperangan menentang Thai.
Tuan Hussin Kedah mendapat didikan awal dari datuknya Haji Muhammad Thayyib bin Mus’ud al-Khalidi an-Naqsyabandi dipondok Titi Gajah. (Insyaallah, tulisan mengenai tokoh ini akan paparkan keblog ini nanti). Seterusnya beliau menyambung pelajarannya di di Pondok Bendang Daya, Fathani. Beliau sempat belajar dengan Tuan Guru Syaikh Haji Wan Mushthafa bin Muhammad al-Fathani (Tok Bendang Daya I) dan selanjutnya kepada anak beliau, Syaikh Abdul Qadir bin Syaikh Wan Mushthafa (Tok Bendang Daya II). Ketika di Bendang Daya dipercayai beliau bersahabat dengan Wan Ismail bin Mushthafa al-Fathani (Tok Ayah Doi – pengasas pondok Gajah Mati, Kedah) dan Tok Kelaba. Selain di Bendang Daya, Tuan Husein Kedah juga pernah belajar di Pondok Semela, pondok dimana datuknya pernah menuntut ilmu. Tuan Hussain Kedah telah merantau ke Kelantan, Terengganu, Singapura, Johor dan Perak untuk mendalami ilmu agama. Setelah lama di perantauan mencari ilmu, beliau kembali ke Titi Gajah dengan niat untuk membantu datuknya mengajar. 
Memang sudah menjadi tradisi pada zaman tersebut, tidak lengkap ilmu seseorang sekiranya tidak melanjutkan pelajaran ke Mekah, yang merupakan pusat ilmu ketika itu. Maka pada tahun 1892, beliau berangkat ke Mekah bersama isterinya iaitu Wan Khadijah binti Wan Yusuf untuk mengerjakan haji dan menambahkan pengetahuan agamanya. Ketika di Mekah beliau sempat berjumpa dan berguru dengan ulama-ulama besar disana seperti Syaikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Sayyid Ahmad bin Zaini Dahlan, Syaikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Syaikh Nawawi al-Bantani, Syaikh Umar Sumbawa, Syaikh Ahmad Umar Bali, Syaikh Ahmad Lingga, Syaikh Wan Ahmad al-Fathani dan ramai lagi. 
Apabila Tuan Hussain pulang dari Mekah pada tahun 1896M, beliau meneruskan pengajarannya di pondok Titi Gajah dan pada waktu yang sama beliau ditawarkan untuk membuka pondok di kampung Alor Ganu, sebuah perkampungan yang berhampiran. Beliau menerima tawaran tersebut dan mengajar di sana selama tiga tahun. 

Pada tahun 1900, beliau berpindah Bohor dan membuka pondoknya di sana. pelajar-pelajar lelaki dan perempuan di pondok Bohor berumur antara 15 hingga 60 tahun. Terdapat dua kumpulan pondok iaitu Pondok Dalam di mana disediakan untuk orang yang sudah berkeluarga dan Pondok Luar untuk anak-anak bujang. Tuan Hussin mengendalikan pondoknya di Bohor selama 12 tahun sehingga beliau terkenal dengan panggilan "Tuan Hussain Bohor". 

Pada tahun 1912, Tuan Hussin berpindah pula ke Bagan Ulu dan membuka pondok di situ. Tempat ini sekarang dikenali sebagai Pantai Merdeka. Pelajar-pelajarnya berjumlah lebih 400 orang. Antara pelajar-pelajarnya yang terkenal ialah Dato' Haji Abdul Rahman bin Haji Abdullah atau lebih dikenali sebagai Tuan Guru Haji Abdul Rahman Merbok (gambar sebelah). Tuan Hussin mentadbir pondok Bagan Ulu selama 8 tahun sebelum membuka pondok baru di Selengkoh, Mukim Sungai Limau. Keadaan persekitaran di Selengkoh yang becak mengurangkan penuntut Tuan Hussin. Beliau berkhidmat di sana selama 4 tahun dan kemudiannya berangkat mengerjakan fardhu haji bersama anak dan cucu-cucunya. 

Kepulangannya dari Mekah pada tahun 1924M telah memberi ilham kepada Tuan Hussin untuk membuka pondok baru pula di Padang Lumat. Dan seterusnya beliau membuka pondok di Pokok Sena, Seberang Perai pada akhir tahun 1929M. Tuan Hussin Kedah adalah seorang ulama yang wara’ dan rajin beribadah. Sering membawa tongkat ketika berjalan Beliau bertariqat Syattariah. Beliau adalah seorang tuan guru pondok yang tegas. Pelajarnya tidak dibenarkan merokok dan berambut panjang. Tuan Hussin Kedah adalah seorang ulama besar yang sangat gigih dalam perjuangan menggunakan kalam (perkataan) dan qalam (pena/penulisan) demi penyebaran ilmu pengetahuan Islam. Dalam kesibukan mengajar, beliau masih sempat untuk menulis kitab untuk diwariskan kepada generasi seterusnya. Antara kitab-kitab tulisannya adalah:

  • an-Nurul Mustafid fi Aqaidi Ahlit Tauhid (1305H/1888M). Kandungannya membicarakan tentang tauhid, akidah Ahlis Sunnah wal Jamaah. Kitab ini adalah kitab pertama yang beliau karang. 
  • Tamrinush Shibyan fi Bayani Arkanil Islam wal Iman (1318H). Menggunakan nama Husein Nashir bin Muhammad Thaiyib al-Mas'udi al-Banjari. Kandungannya membicarakan tauhid, akidah Ahlis Sunnah wal Jamaah dinyatakan rujukannya ialah Ummul Barahin, Syarah Hudhudi, karya as-Suhaimi, Hasyiyah Syarqawi dan Dhiyaul Murid. 
  • Hidayatus Shibyan fi Ma'rifatil Islam wal Iman, menggunakan nama Abi Abdullah Husein Nashir bin Muhammad Thaiyib al-Mas'udi al-Banjari (1330H). Kandungannya membicarakan tentang tauhid dan fekah. 
  • Kisarul Aksir lish Shaghir `indal Kabir li Ma'rifatillahil `Alimil Khabir (1336H). Kandungannya membicarakan tentang tasauf dan thariqat. 
  • Hidayatul Athfal (1336H). Kandungannya pelajaran tauhid untuk kanak-kanak.
  • Hidayatul Mutafakkirin fi Tahqiqi Ma'rifati Rabbil `Alamin (1337H). Kandungannya membicarakan tentang tauhid, menurut akidah Ahli Sunnah wal Jamaah. 
  • Tafrihus Shibyan fi Maulidin Nabi min Waladi `Adnan (1341H). Kandungannya mengenai sejarah kelahiran Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم . 
  • Tazkiru Qabailil Qadhi (1343H). Kandungannya merupakan Terjemahan Hadits Jawahir al-Bukhari, terdiri daripada dua juzuk, yang telah dijumpai hanya juzuk yang pertama saja. 
  • Bidayatut Thalibin ila Ma'rifati Rabbil `Alamin, diselesaikan 1344H. Kandungannya membicarakan ilmu tauhid. Cetakan yang kedua The United Press, No. 3 Dato' Keramat Road, Pulau Pinang, 1357 Hijrah. Ditashhih oleh Ilyas Ya'qub al-Azhari.
  • ‘Alaqatul Lamiyah wash Sharfiyah, diselesaikan 1345H. Kandungannya membicarakan ilmu sharaf atau perubahan perkataan dalam bahasa Arab.
  • Ushulut Tauhid fi Ma'rifati Thuruqil Iman lir Rabbil Majid (1346H). Kandungannya membicarakan falsafah ilmu tauhid dan ilmu fekah. 
  • Hidayatun Nikah (1347H). Kandungannya membicarakan perkara-perkara mengenai nikah kahwin.
  • Qathrul Ghaitsiyah fi `Ilmish Shufiyah `ala Syari'atil Muhammadiyah (1348H). Kandungannya membicarakan tasawuf. 
  • Majmu'ul La-ali lin Nisa' wal Athfaliyi: Juzuk I (1350H). Kandungan mukadimahnya menyatakan bahawa judul ini terdiri daripada sepuluh juzuk. Juzuk yang pertama, membicarakan hukum taharah dalam bentuk soal-jawab.
  • Majmu'ul La-ali lin Nisa' wal Athfaliyi, Juzuk II (1350H). Kandungannya membicarakan tentang sembahyang dalam bentuk soal-jawab. Tidak terdapat nama percetakan.
  • Tabshirah li Ulil Albab (1351H). Kandungannya membicarakan tentang akidah/tauhid.
  • Hidayatul Ghilman (1351H). Kandungannya membicarakan tentang akidah/tauhid yang ditulis dalam bahasa Arab.
  • Nailul Maram fi ma Yujabu Husnul Khitam (1354H). Kandungannya membicarakan tentang beberapa amalan zikir dan wirid untuk mendapatkan husnul khatimah. 
  • Tanbihul Ikhwan fi Tadbiril Ma'isyah wat Taslikil Buldan, (1354H). Kandungannya membicarakan tentang penghidupan dan pentadbiran pemerintahan.
  • Bunga Geti (1354H). Kandungannya membicarakan tentang sembahyang qadha atau mengganti sembahyang yang ketinggalan. Kitab ini merupakan kitab terakhir yang beliau tulis.

Menurut catatan dari keluarganya ketika beliau jatuh sakit, Tengku Abdullah; bekas muridnya meminta beliau pulang ke Kedah. Dan beliau pulang ke Kedah setelah dirayu oleh anaknya. Tengku Abdullah telah mengambil beliau di Pokok Sena dan dibawa ke rumahnya di Batu 16, Padang Lumat, dan pada 18 Zulkaedah 1354H bersamaan 10 Februari 1936M, dengan kehendak Allah Tuan Hussin pulang ke rahmatullah dan jenazahnya telah dikebumikan di perkuburan Titi Gajah. Perjuangannya diteruskan oleh anakandanya iaitu Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin, yang juga merupakan Qadhi Besar, Pulau Pinang


Sumber: tamanulama.blogspot.com


TUAN GURU HAJI MAT PINTU GENG
.
TG HJ MAT PINTU GENG (1889-1967)
Tuan Guru Hj Muhammad Ahmad al Kalantani
(1889 - 1967)

Namanya Hj Muhammad bin Ahmad al-Kalantani, lebih  dikenali dengan Pak Cu Hj Mat. Seorang ulamak dan ahli dalam ilmu tajwid. Menanda Qiraat 7 dalam al-Qur'an kegunaannya. Lahir pada 1889 di Kg Paloh, Pintu Geng, Kota Bharu. Ibunya berasal dari Patani. Bapanya dari Kelantan tetapi meninggal di Makkah sewaktu beliau masih kecil. 
Mempelajari al-Qur'an, Ilmu Feqh, Nahw, ilmu usul DLL dengan TG Hj Idris Pasir Kota, Kota Bharu. Seterusnya meyambung pelajaran di Makkah selama 5 tahun. Kembali dan membuka pondok di Pintu Geng thn 1920. Di pondok ini, beliau mengajar kitab2 dan al-Qur'an sekaligus. Mengajar al-Qur'an selama 40 thn dan mengarang: Muqaddimah al-Mubtadi fi Ilmi al-Tajwid.Mempunyai murid yg ramai. Meninggal dirumahnya pada tahun 1967.

Sumber: alghari.blogspot.com

TUAN HAJI AWANG FAKIR

TG HJ AWANG FAKIR (1876-1964)
Tuan Guru Hj Awang Fakir
(1876 - 1964)

Nama sebenar ialah Hj Abdullah bin Hj Yusuf Bekeng. Ibunya dikenali dengan Mek Teh. Beliau dilahirkan pada tahun 1876 dan berketurunan Raja Patani. Menetap di Kg Biah dekat Nilam Puri. Beliau mula mengaji di pondok Chenok, Pondok Bendang Jong dgn Tok Chaok (masyhur dgn gelaran ahli Makrifat). Pernah beliau mengalamai keadaan dimana selama tiga bulan makan labu kerana kehabisan beras semasa memondok. Beliau balik ke Kelantan untuk berkahwin. Beliau menerima 'Doa Patani' dari Tuan Guru (TG) Tok Chaok. Kemudian beliau mengaji pula dengan Tok Mufti Hj Wan Musa, TG Pak Su Lah Kg Bot dan Tok Kemuning Tua. Beliau juga pernah mengaji di Makkah selama 2 tahun. 
Pada tahun 1929, beliau pulang ke tanah air dan menetap di Kg Lembu (Nilam Puri), Kelantan. Beliau telah mendidik dan melahirkan ramai murid. Amalan istimewa beliau ialah doa surah al-Ikhlas, Ayat al-Kursi, Ayat 33 dan Selawat. Antara kiramah beliau ialah pencuri labunya sakit perut serta merta dan tiga orang penyamun tidak boleh keluar dari sebuah kebun hingga ke pagi kecuali dengan kebenarannya. 
Tuan Guru Awang Fakir kembali ke rahmatullah pada 5.50 pagi, Isnin 4 Mei 1964.

Sumber: alghari.blogspot.com


tulisan akan datang........................

ULAMAK MELAYU TERSOHOR BAHAGIAN 2

No comments:

Post a Comment